Hipokrasi retorik penyatuan Melayu


Hadri Shah

KATA Tuhan dalam surah Al-Hujurat ayat ke-13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Untuk memahami konteks dan maksud ayat ini tidaklah memerlukan seseorang bertalaqi sampai ke Arab Saudi. Cukuplah dengan menggunakan kurniaan otak secemerlang mungkin.

Pesan Tuhan sangat jelas, meski jika difahami secara literal sekalipun, ia sebuah gagasan mempromosi kehidupan harmonis dalam suasana yang cukup pluralistik.

Walau apa pun perbezaannya – gender, pegangan agama, bangsa, warna kulit dan anak mata –  ia bukan untuk dimusuhi (siapa yang lebih bermartabat), malah ia tanda bahawa perbezaan membawa pengertian yang cukup indah.

Maka sekiranya ada yang bencikan perbezaan dan tergila-gilakan keseragaman, apakah golongan ini cuba menyanggah fitrah?

Tuhan, seperti yang dibuktikan dalam ayat ini, tidak pernah menyebut tentang perjuangan bangsa. Yang dimahukan dan dinilainya ialah manusia menyelesaikan kerja-kerja mengumpul kebaikan, keadilan dan kesamarataan. Tak pernah disebutnya ada sesuatu bangsa seperti bangsa Melayu yang berhak kepada keistimewaan tertentu.

Tetapi, entah apa yang payahnya, ramai manusia hari ini termasuklah Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam gagal teruk memahami konteks merayakan kepelbagaian.

Kasihan dia, tuan-tuan. Walau setiap hari dan jam menyebut nama Tuhan, dia bersama golongannya masih terendam likat dalam larutan fasisme sehingga sukar diubah pemikirannya bahawa negeri ini milik semua bangsa.

Minggu lepas, sang presiden menulis artikel bertajuk “Bersatulah Semua Parti Politik Melayu”. Dia menyatakan kebimbangannya tentang keburukan kebebasan bersuara mutakhir ini yang mencabar serta merendah-rendahkan raja Melayu, kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam.

Melalui tulisannya, dia menyeru semua orang Melayu termasuklah pemimpin parti politik Melayu bersatu padu supaya martabat Istana, orang Melayu dan kedaulatan Islam terjamin.

Di akhir kalamnya, sang presiden menulis: “Sesungguhnya penyatuan kaum Melayu dan peribumi dalam membentuk pemerintahan yang dominan peribumi harus disokong bukan saja oleh kaum Melayu tetapi juga oleh pihak bukan Melayu.

Ini kerana Melayu dan peribumi adalah kaum asal di bumi ini yang juga membentuk hampir 70% penduduk Malaysia. Mereka tentunya menjadi paksi kepada perpaduan nasional. Dengan cara ini barulah semua kaum dapat hidup aman damai dan membangunkan sebuah negara yang maju dan aman damai”.

Tuan-tuan, berapa lama lagi kita harus ketawa mendengar kelucuan ini?

Di mana jaminannya semua kaum dapat hidup aman dan damai sekiranya yang mendominasi dan yang punya lebih kuasa politik ialah Melayu?

Bukankah sejarah sering kali berbisik bahawa keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat berbilang bangsa takkan berlaku sekiranya ada satu kaum yang lebih superior?

Akui sajalah, ajakan bersatu padu dan memiliki kuasa politik terbesar hanyalah untuk mengisi tembolok sendiri selain mahu dilihat hebat.

Kalau benarlah golongan ini jujur memperjuangkan nasib orang Melayu sejak zaman dahulu kala, seharusnya kita bertanya di mana taraf hidup orang Melayu saat ini?  Berapa ramaikah orang Melayu daripada kalangan kumpulan B40?

Berapa jumlah purata pendapatan orang Melayu sebulan? Apakah anak-anak Melayu selepas tamat kuliah disediakan peluang pekerjaan dan gaji yang setimpal?

Percayalah, ajakan bersatu padu daripada kalangan pemimpin parti politik Melayu sangat membahayakan. Ia menelur sifat rasisme dan fasisme. Ia menyiapkan sebuah kerangka masyarakat yang pentingkan diri sendiri, tidak peduli dan hidup dalam pengasingan.

Kata Mikhail Bakunin, erti sebenar memartabatkan maruah seseorang manusia ialah kesediaan kita mengiktiraf hak-haknya walaupun berbeza warna kulit, gender dan anutan agamanya.

Justeru, yang kita perlukan saat ini bukanlah perjuangan parti berteraskan bangsa. Masyarakat tidak perlu bergantung harap kepada penyatuan parti politik Melayu untuk mencicip rasa harmoni. Masyarakat tidak memerlukan ahli-ahli politik cauvinis mewakili mereka.

Masyarakat tidak perlukan parti yang sentiasa bergendang rentak agama dan bangsa pada saat “survival” politik mereka sedang ranap menghancur.

Tetapi yang diperlukan masyarakat ialah kesediaan menyerap sikap demokratik, lebih terbuka menolak syak wasangka dalam membereskan kemelut-kemelut yang selama ini menjadi tembok penghalang kepada penyatuan. Politik sebagai instrumen penyatuan semua bangsa mesti diguna tanpa ada sesiapa yang lebih berkuasa ke atas yang lain.

Yakinilah seruan bersatu padu yang sang presiden nyanyikan tidak lebih kepada penipuan tragis yang tidak jujur, hipokrit dan mencurangi sifat kemanusiaan.

Setiap jiwa mendambakan kesempatan dan peluang yang sama. Setiap hati berhak dilayan sama rata. Dan setiap batang tubuh berlainan warna merintih keadilan tatkala ia dizalimi. Inilah kerja manusia sebenar; mempertahankan dan memperjuangkan nasib semua tanpa batasan.

Untuk itu, dakaplah diversiti. Peluklah perbezaan. Rayakan hidup ini atas semangat perpaduan tanpa sempadan dan tanpa kasta.

Biarlah suatu hari nanti kita tinggalkan sebuah kemanisan hidup berwarna-warni kepada anak-anak dari menyesal melihatkan hidup mereka tercarik terseksa berbalah sesama sendiri sedangkan ahli politik fasis tersenyum sambil memalu tanpa henti ritma politik perkauman. – 21 Mei, 2019.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen