RANCANGAN kerjasama komersial antara Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan Japan Airlines Co. Ltd (JAL) berada pada tahap rundingan awam, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Baru-baru ini, MAB mengesahkan ia sudah menghantar permohonan kepada Mavcom, meminta pengecualian individu seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 51 Akta Mavcom 2015 yang membolehkan sesebuah perusahaan memohon pengecualian untuk perjanjian tertentu yang dilarang di bawah Seksyen 49 daripada suruhanjaya.
Seksyen 49 melarang perjanjian antara perusahaan yang “boleh memberi matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau menganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran perkhidmatan penerbangan”.
“Malaysia Airlines mengesahkan yang ia sudah menghantar permohonan untuk pengecualian individu di bawah Seksyen 51 Akta Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia 2015 kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia untuk kerjasama perniagaan dengan Japan Airlines untuk penerbangan antara Malaysia dan Jepun.
“Perniagaan kerjasama ini tertakluk kepada kelulusan pengawalselia (Mavcom) dan Malaysia Airlines akan berkongsi butiran lanjut sebaik sahaja kelulusan didapati,” kata syarikat itu kepada The Malaysian Insight.
Mavcom berkata perjanjian antara dua syarikat itu adalah yang pertama seumpamanya dibuat di bawah Seksyen 49 Akta Mavcom oleh syarikat penerbangan tempatan dan kini berada pada tahap rundingan awam.
Permohonan syarikat penerbangan nasional itu diterima Mavcom pada 12 April lalu dan kertas rundingan akan diletakkan di dalam laman sesawangnya sehingga 27 Mei ini.

Jurucakap Mavom berkata jangka masa untuk kelulusan diberikan berbeza untuk setiap permohonan.
“Tempoh masa untuk penilaian pengecualian individu berbeza berdasarkan kes demi kes bergantung kepada faktor-faktor seperti kerumitan kes dan kerjasama pemohon,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Berkongsi sejarah susah
Seorang penanalisis yang tidak mahu namanya didedahkan berkata kerjasama sebegitu adalah amalan biasa dalam industri penerbangan, terutama sekali kerjasama yang melibatkan syarikat yang mempunyai sejarah sama kewangan mendesak.
Kerjasama antara dua ahli One World Alliance itu akan melibatkan koordinasi dan kerjasama aspek tertentu seperti jadual dan kapasiti, jualan dan pemasaran, pemantauan prestasi dan perancangan perolehan untuk laluan Malaysia-Jepun.
Seperti MAB, JAL juga berdepan masalah kewangan.
JAL dinasionalisasikan pada 1953 sebelum diswastakan kembali pada 1987. Syarikat itu berada dalam getir kewangan pada 1992.
JAL berdepan masalah apabila ia mula membuat pelaburan besar dalam pasaran hartanah dan hotel sebelum krisis ekonomi Jepun tercetus yang dikenali ramai sebagai “Dekad Hilang Era 1990-an”.
Pada awal milenium baharu, faktor ketidaktentuan luaran seperti serangan pengganas 9/11, perang Iraq dan wabak SARS juga memberi kesan teruk kepada syarikat penerbangan itu.
JAL akhirnya memfailkan kemuflisan pada 2010.

Ketika itu, hutangnya mencecah ¥2.32 trilion (RM85 bilion), menjadi syarikat penerbangan terbesar Asia yang muflis dan kes kegagalan terbesar bukan sektor kewangan pernah difailkan di Jepun.
Seperti MAB, JAL juga terpaksa meminta bantuan kerajaan menerusi Perbadanan Inisiatif Pemulihan Perusahaan (Etic).
Kesannya, syarikat itu diminta membuang satu pertiga atau 15,700 tenaga kerjanya menjelang Mac 2013 dan membatalkan laluan penerbangan tidak menguntungkan.
Syarikat penerbangan itu kembali menjadi tumpuan apabila pada 2011/2012 menjadi syarikat penerbangan paling untung di dunia dengan keuntungan mencecah ¥186.6 bilion.
Dan pada April 2017, JAL bebas daripada sekatan dikenakan kerajaan untuk peluasan laluan penerbangan.
Kisah yang lebih kurang serupa turut berlaku kepada MAB, yang pada 2015 sahaja berdepan 12 pelan pemulihan dirancang Khazanah Nasional Berhad.
Dana kekayaan negara itu turut menyuntik tambahan RM6 bilion untuk menyelamatkan syarikat penerbangan nasional yang parah itu.
Sebelum pelan pemulihan 2014, ia menerima RM17.4 bilion suntikan modal.
Pelan pemulihan itu menyebabkan MAS dikeluarkan daripada Bursa Malaysia dan operasi, aset serta liabilitinya dipindahkan kepada syarikat baharu, kini dikenali sebagai MAB.
Dalam rancangan penstrukturan semula operasi, ia juga membuang 6,000 atau 30% daripada 14,000 pekerjanya.
MAB sepatutnya menampakkan hasil pemulihan pada akhir 2017. Tetapi, sehingga sekarang ia masih belum melaporkan sebarang keuntungan. – 22 Mei, 2019.
Komen