AMARAN Anwar Ibrahim berhubung rasuah yang didakwa menjangkiti Pakatan Harapan dialu-alukan rakan-rakan beliau dari kalangan ahli parlimen yang mengatakan ia adalah peringatan yang tepat pada masanya bagi gabungan pemerintah supaya tetap berpegang teguh kepada prinsip idealnya.
Dalam pada itu, wujud juga dari kalangan mereka menggesa Anwar, yang dijangka akan mengambil alih kepimpinan daripada Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa jika beliau mempunyai bukti bahawa pemimpin Pakatan hidup di luar kemampuannya.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Faiz Na’Anam, Pakatan dipilih rakyat untuk memegang tampuk kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana ia berjanji untuk menghapuskan rasuah yang telah menjadi wabak dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Seperti kata Dr Mahathir, kita mesti bukan sahaja bersih tetapi mesti dilihat bersih,” kata Dr Faiz, yang juga merupakan ketua biro integriti, pencegahan rasuah dan pencegahan salah guna kuasa bagi sayap Pemuda Bersatu, Armada. Bersatu adalah salah satu daripada empat parti komponen Pakatan, selain Amanah, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dr Faiz berkata terdapat beberapa contoh di mana wakil-wakil rakyat Pakatan yang dipilih sama ada di peringkat negeri atau persekutuan menarik tanggapan bahawa gaya hidup mereka kini berubah selepas gabungan itu mengambil allih kuasa persekutuan.
“Ada kebenaran tentang apa yang Anwar kata tetapi dia tak patut generalise dan kata semua dalam Pakatan macam itu. Saya pernah nampak pemimpin Pakatan dirakam berada di kelab golf.
“Mungkin dia pergi sana atas kapasiti rasmi. Tapi ia boleh memberi persepsi yang negatif pada pengundi kerana dia dulu orang yang susah.
,” kata Dr Faiz, sambil menambah bahawa dalam minda orang ramai, pemimpin-pemimpin Pakatan adalah pemimpin sederhana dan hidup dengan sikap rendah diri ketika mereka masih pembangkang..
“Saya (fikir) ia adalah satu peringatan kepada kita semua, terutama sekali orang yang ada jawatan untuk berserdehana dalam lifestyle dan penampilan. Kerana kita tak mahu jadi macam BN. Orang BN memang terkenal dengan berlagak mewah dan menunjuk kepada orang awam bahawa politik ni satu jalan untuk jadi kaya,” kata Dr Faiz.
Kedua-dua tokoh utama dalam kerajaan BN, Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi kini menjalani perbicaraan di mahkamah berhubung kira-kira 40 pertuduhan kes masing-masing, kesemuanya berkaitan dengan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan penipuan.
Kerajaan juga turut melaksanakan pelucutan hak terhadap Najib dan isterinya, Rosmah Mansor untuk barangan kemas, beg tangan dan jam tangan bernilai kira-kira RM711 juta.
Pada 17 Mei, Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata terdapat bibit-bibit rasuah telah meresap ke dalam Pakatan.
Anwar berkata kepimpinan Pakatan kini dikelilingi oleh “kumpulan tertentu” yang mana dia berkata cuba melemahkan parti pemerintah.
“Sekarang terdapat bibit-bibit rasuah dalam Pakatan, bukan hanya BN. Ada yang hidup dan berbelanja luar biasa tidak lama setelah mendapat jawatan dan kuasa, “kata Anwar dalam ucapannya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan berkata tidak adil untuk menilai pemimpin Pakatan semata-mata berdasarkan kereta yang mereka memandu dan rumah mereka sendiri walaupun beliau bersetuju dengan amaran yang dibangkitkan Anwar.
“Ada pemimpin Pakatan yang memang orang korporat dan berjaya sebelum mereka masuk politik.” kata Sany, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer.
“Jadi, aset yang mereka ada mencerminkan kejayaan mereka. Apa yang penting adalah bila mereka dah pegang jawatan kerajaan dia tak guna jawatan untuk memperkayakan diri mereka dan mencuri dari rakyat,” kata Sany.
Sany mendesak mereka yang mengesyaki wakil rakyat yang dipilih dan hidup di luar kemampuan mereka untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis.
Amaran Anwar itu juga turut dipuji Naib Presiden Amanah dan juga Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar, yang mengatakan bahawa jika apa yang dikatakan oleh pemimpin PKR itu benar, Anwar harus membuat laporan terhadap pemimpin Pakatan yang disyaki melakukan rasuah.
“Kita tak mahu bibit rasuah macam ini masuk dalam Pakatan sampai duit rakyat dicuri. Kita nak cegah kerosakkan ini dari masuk Pakatan. Adalah lebih baik SPRM mencegah rasuah (yang dilakukan) daripada menular dalam Pakatan (dan) sebelum duit hilang,” katanya. – 18 Mei, 2019.
Komen