Anwar beri amaran, rasuah mula jangkiti Pakatan


SM Amin

Dalam pidato semasa majlis berbuka puasa bersama satu kumpulan NGO Islam hari ini, Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa pemimpin PH hanya akan terus mendapat sokongan sekiranya menolak rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Mei, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim memberi amaran mengenai amalan rasuah yang menurutnya mula menjangkiti Pakatan Harapan (PH) selepas gabungan parti itu menguasai Putrajaya.

Anwar berkata, perkara itu dapat dikesan apabila melihat pemimpin PH mula dikelilingi oleh kumpulan tertentu yang melemahkan dan merosakkan gabungan parti itu.

“Bukan dalam BN (Barisan Nasional) tetapi dalam PH pun sudah nampak bibit-bibit sedemikian. Baru lagi pegang jawatan, nampaknya luar biasa cara hidup dan perbelanjaan,” katanya.

Dalam pidato semasa majlis berbuka puasa bersama satu kumpulan NGO Islam hari ini, beliau mengingatkan bahawa pemimpin PH hanya akan terus mendapat sokongan sekiranya menolak rasuah.

“Sokongan kepada PH harus bersyarat. Kita terus gilap idealisme, tetap pertahankan prinsip perjuangan, tidak tolak ansur dengan rasuah dan penyelewengan, pemunggahan kekayaan peribadi dan keluarga kerana ini berlaku termasuk dalam pimpinan PH,” 

Anwar juga berkata masyarakat kini mulai sinis jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berani mengambil tindakan terhadap pemimpin yang berkuasa waktu ini.

Justeru itu kata Anwar, sahabat dalam parti mahupun dalam majlis tertentu perlu menegur pemimpin berkuasa yang dilihat mendapat kekayaan luar biasa dalam sekelip mata.

“Saya bimbang kerana kadang-kadang kita terlalu meremehkan sebab dia sahabat kita, dia pemimpin kita, kalau dia curi wang sedikit tidak apa, kalau keluarganya mempamerkan kekayaan melimpah tidak apa. 

“Ini kabilah asabiyah yang meninggalkan prinsip idealisme.Masyarakat madani harus lebih lantang dan bukan hanya jaga kepentingan mereka sahaja,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Tiga NGO Islam yang terlibat dalam acara itu adalah Persatuan Wadah Pencerdasan Umat, Angkatan Belia Islam Malaysia dan dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Antara kes rasuah dikaitkan dengan pimpinan Pakatan Harapan adalah kes setiausaha politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub yang didakwa menerima jam tangan mewah.

Ia didakwa sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan kementerian.

Turut disiasat adalah seorang setiausaha Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kerana didakwa menerima RM800,000 bagi menyelesaikan hutang dan keluar daripada status muflis.

Ia didakwa untuk melayakkannya menerima pelantikan sebagai pegawai di Kementerian Pertahanan. – 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen