KERAJAAN menyambut baik tindakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mendedahkan penyelewengan dan salah laku dalam agensi itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Mujahid Yusof Rawa.
Katanya, langkah tersebut akan membantu Yapeim mendapatkan kembali kepercayaan penderma, dan selari dengan komitmen untuk memeriksa ketelusan pelbagai institusi bawah kementeriannya.
“Kita bertindak atas platform untuk memulihkan agensi khususnya di bawah kita supaya (pulihkan) kepercayaan orang ramai terhadap agensi ini yang mengambil dana orang ramai untuk anak yatim.
“...Dan supaya Yapeim akan meningkatkan lagi sumbangan mereka dan kita akan dapat buat banyak benda untuk pembangunan ekonomi islam,” katanya lagi.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yapeim Mohd Daud Bakar hari ini mengenai salah laku dan kecuaian dalam pengurusan tertinggi yayasan itu.
Mohd Daud hari ini memberi jaminan semua individu yang bertanggungjawab dengan salah laku dan penyelewengan terbabit tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang.
Beliau juga mengumumkan langkah penstrukturan jawatankuasa utama dalam Yapeim untuk memulihkan integriti, selain menyemak semula ganjaran besar yang diterima pengurusan tertinggi itu.
Mohd Daud, yang dilantik sebagai pengerusi LPA pada November 2018 berkata dakwaan salah laku, penyelewengan dan ketirisan itu didakwa berlaku selepas pentadbiran LPA terdahulu.
Mengulas lanjut mengenai pendedahan itu, Mujahid berkata beliau percaya pendedahan oleh Mohd Daud itu dibuat berdasarkan laporan bebas.
Kataya, operasi pemutihan ke atas Yapeim dijalankan seumpama dengan tindakan ke atas Tabung Haji dan Institut Kajian Strategik Islam (Iksim).
“Sejak saya masuk jadi menteri memang kita ada dasar untuk nak melihat semua agensi ini di mana kita akan membuat siasatan secara bebas dan kita telah lakukan (pemulihan) Tabung Haji.
“Kita telah lakukan juga pada Iksim sehingga membawa kepada penutupan dan sekarang adalah Yapeim,” kata Mujahid kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Rahmah Masjid Alami di Masjid Jamek, Kuala Lumpur.
Salah laku tersebut dikenal pasti dalam audit oleh firma Price Waterhouse Cooper PWC yang dimuktamadkan April lalu.
The Malaysian Insight sejak minggu lalu mendedahkan dakwaan penyelewengan dalam Yapeim yang terkandung dalam pelan tindakan dan penstrukturan semula yayasan itu.
Ia termasuk kes Yapeim menggunakan dana yayasan untuk membayar saman pengarahnya yang juga bekas pegawai Najib Razak, tanpa kelulusan ahli lembaga pemegang amanah.
Pelan tindakan dan penstrukturan semula Yapeim, yang dilihat The Malaysian Insight, turut mendedahkan ketua pengarah dan pegawai kanan yayasan dibayar bonus dan gaji yang tinggi, mencurigakan dan tidak munasabah.
Mereka juga didakwa menerima elaun daripada anak-anak syarikat yang didakwa melantik diri mereka sendiri sebagai ahli lembaga pengarah.
Selain itu, Yapeim turut mencatat kerugian besar dalam projek pajak gadai Ar-Rahnu antaranya akibat kecuaian dan kesilapan pentadbiran.
Yapeim juga didakwa membuat keputusan bisnes tidak wajar seperti membeli bangunan di Putrajaya dengan pinjaman bank lebih tinggi daripada harga belian dan melabur tanpa perakuan jawatankuasa risiko dan pelaburannya. – 15 Mei, 2019.
Komen