YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mengesahkan wujud salah laku dan kecuaian dalam pengurusan tertingginya sewaktu ditadbir Lembaga Pemegang Amanah (LPA) terdahulu.
Pengerusi LPA Yapeim yang baharu, Mohd Daud Bakar juga berkata setiap individu yang bertanggungjawab ke atas salah laku dan ketirisan terbabit akan dikenakan tindakan.
“Setiap salah laku dan ketirisan dilakukan oleh mana pihak dalam Yapeim pada masa sekarang atau lepas akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya berdasarkan peraturan dalaman Yapeim dan undang-undang Malaysia,” katanya.
Pada masa sama Mohd Daud mengumumkan kesemua jawatankuasa bawah LPA Yapeim akan disusun semula bagi menambah baik tadbir urus serta semak imbang yayasan itu.
Enam jawatankuasa terbabit adalah jawatankuasa khas pelaburan dan kewangan, jawatankuasa khas risiko, audit dan tadbir urus.
Turut terlibat adalah kesemua syarikat milik penuh dan syarikat di bawah kawalan Yapeim, tambahnya.
Sebahagian besar syarikat berkenaan berkenaan akan dijadikan tidak aktif dan syarikat yan kerugian akan disusun semula untuk pengurangan kos pentadbiran, tambahnya.
Jelasnya, LPA baharu yang dipengerusinya sejak November 2018 juga meneliti isu melibatkan Yapeim dan mengambil tindakan sewajarnya.
Tindakan itu termasuk ke atas bayaran bonus tinggi dinikmati pengurusan kanan, yuran guaman pengarah Yapeim menggunakan danan yayasan dan kerugian dalam projek pajak gadai Ar-Rahnu.
Katanya, salah laku dan penyelewengan tersebut dikenalpasi dalam audit oleh firma Price Waterhouse Cooper PWC yang dimuktamadkan April lalu.
“Berdasarkan kepada laporan firma PwC dan juga dapatan inisiatif pihak LPA sendiri yang melakukan pemantauan dan interaksi dengan pihak pengurusan secara berterusan sejak 2018.
“Pihak LPA Yapeim telah mengenal pasti beberapa kemungkinan salah laku dan dan kecuaian pentadbiran oleh pihak pengurusan Yapeim sejak beberapa tahun lepas,” katanya.
Beliau tidak menolak pandangan bahawa penemuan dalam laporan audit terbaharu ini amat membimbangkan barisan LPA.
Namun LPA Yapeim gembira kerana dalam meneliti masalah tersebut secara profesional untuk memulihkan tadbir urus Yapeim menjadi lebih mapan dan berintegriti, katanya.
Tambah Mohd Daud, ia sesuai dengan “peranan Yapeim sebagai pencetus perusahaan sosial, aktiviti amal jariah dan kebajikan masyarakat Islam di Malaysia”.
The Malaysian Insight sejak minggu lalu mendedahkan dakwaan penyelewengan dalam Yapeim yang terkandung dalam pelan tindakan dan penstrukturan semula yayasan itu.
Ia termasuk kes Yapeim menggunakan dana yayasan untuk membayar saman pengarahnya yang juga bekas pegawai Najib Razak, tanpa kelulusan ahli lembaga pemegang amanah.
Pelan tindakan dan penstrukturan semula Yapeim, yang dilihat The Malaysian Insight, turut mendedahkan ketua pengarah dan pegawai kanan yayasan dibayar bonus dan gaji yang tinggi, mencurigakan dan tidak munasabah.
Mereka juga didakwa menerima elaun daripada anak-anak syarikat yang didakwa melantik diri mereka sendiri sebagai ahli lembaga pengarah.
Pengarah Bahagian Perundangan Yapeim Adawiyah Abdul Samad bagaimanapun dalam sidang medianya Ahad lalu mempertahankan pembayaran ganjaran tinggi tersebut.
Yapeim juga dilaporkan rugi RM12 juta dalam skim gadai Ar-Rahnu setelah gagal melelong gadaian yang tidak ditebus semula.
Yapeim juga didakwa membuat keputusan bisnes tidak wajar seperti membeli bangunan di Putrajaya dengan pinjaman bank lebih tinggi daripada harga belian dan melabur tanpa perakuan jawatankuasa risiko dan pelaburannya.
Pada hujung 2015, pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir mendedahkan penyelewengan dana dan salah guna di Yapeim.
Akmal, sekarang ahli Parlimen Johor Bahru dan ketua Pemuda PKR, kemudian disaman fitnah oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom.
Mahkamah pada Julai 2016 membatalkan saman itu dengan alasan Jamil tidak boleh mengemukakan saman atas kapasiti menteri. – 15 Mei, 2019.
Komen