KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador yang baharu dilantik menyindir cadangan Naib Presiden Warisan Junz Wong supaya pegawai Cawangan Khas (SB) memperkenalkan diri mereka untuk hadir di majlis kerajaan.
“Mungkin saya perlu minta bajet lebih daripada menteri dalam negeri dan selepas ini orang saya boleh bawa plakad yang kata ‘saya SB’ bila mereka hadir majlis,” kata Hamid.
Hamid bagaimanapun berkata, sebelum ini tiada masalah bagi anggota polis menghadiri mana-mana majlis kerajaan.
“Bukan masalah langsung. Sejak 200 tahun, polis tak pernah bermasalah untuk hadir majlis kerajaan.”
“Niat kami sangat jelas dan mulia. Untuk pastikan majlis berjalan lancar,” tambahnya.
Wong sebelum ini mengulas laporan mendakwa pegawai SB dihalang hadir majlis Warisan atau kerajaan negeri, sebaliknya menegaskan mana-mana pegawai SB boleh hadir majlis kerajaan di Sabah sekiranya mereka memperkenalkan diri.
“Kita tidak boleh membenarkan orang yang mengaku sebagai wartawan hadir dalam sesuatu acara. Ini akan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Atas sebab ini, sungguhpun mereka pegawai polis, adalah lebih baik sekiranya mereka memperkenalkan diri daripada berlakon seolah-olah mereka anggota media,” katanya. – 15 Mei, 2019.
Komen