Warisan larang SB hadir sidang media di Sabah, kata laporan


Naib Presiden Warisan Junz Wong memberitahu yang pegawai SB tidak lagi akan dibenarkan hadir sidang media kerana mereka tidak dijemput. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2019.

WARISAN mengharamkan pegawai Cawangan Khas (SB) hadir ke sidang media anjuran kerajaan Sabah, lapor portal FMT hari ini.

Naib Presiden Warisan Junz Wong memberitahu portal berita itu yang pegawai SB tidak lagi akan dibenarkan hadir sidang media kerana mereka tidak dijemput.

“Jika mahu mereka boleh mohon, mereka wajar kenalkan diri dan tidak menyamar sebagai wartawan,” katanya.

“Sudah jadi amalan lama polis hantar anggota Cawangan Khas untuk hadir ke majlis kerajaan dan pembangkang. Di bawah kerajaan Warisan sekarang, amalan ini tidak lagi akan dilakukan,” kata menteri pertanian dan industri asas tani negeri itu.

Wong menegaskan yang polis tidak ada urusan berada di sidang media.

Bagaimanapun, keputusan kerajaan itu dikecam penulis blog yang berkata sudah jadi amalan pegawai SB untuk hadir di majlis politik atau sidang media.

Seorang penulis blog tempatan, Ronnie Klassen dipetik berkata oleh FMT sebagai berkata yang individu bertanggungjawab menguatkuasakan peraturan baharu itu adalah “perunding media” ketua menteri sendiri.

“Perunding media” itu didakwa bekas seorang wartawan di Sabah dan dibayar Shafie, katanya lagi. – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen