Saya nak tahu juga harta Takiyudin dan Hadi Awang, kata Saifuddin


Nabihah Hamid

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saifudin Nasution menyokong gesaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya pembangkang mengisytiharkan harta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Mei, 2019

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saifudin Nasution menyokong gesaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya pembangkang mengisytiharkan harta. 

Setiausaha Agung PKR itu juga turut percaya cadangan itu akan disambut baik oleh parti pembangkang terutama PAS dan Umno. 

“Kalau boleh diamalkan pemimpin peringkat kerajaan, saya fikir untuk menuju ke arah iklim politik yang lebih sihat maka gesaan perdana menteri untuk pembangkang ikut mengistiharkan harta adalah satu syor yang sangat wajar. 

“Kita juga nak tahu Takiyuddin (Hasan) berapa harta dia, Hadi Awang berapa harta dia, Najib oleh kerana sekarang dia pembangkang dia pun boleh mengistiharkan harta.

“Saya sambut baik dan tak ragu-ragu kesediaan rakan pembangkang untuk berduyun-duyun menyambut seruan ini,” katanya pada pada sidang media selepas melancarkan Produk Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) Payfo di Kuala Lumpur hari ini. 

Saifudin mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir berkata semua ahli Parlimen termasuk pembangkang perlu mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Perdana menteri berkata, berikutan pembangkang menggunakan kuasa untuk mengkritik, mereka juga perlu mengisytiharkan harta.

Saifuddin menambah tindakan tersebut wajar bagi membolehkan rakyat menilai pemimpin politik. 

“Jadi rakyat boleh menjadi hakim sebab isytihar harta itu kita kena ada akauntabiliti. Isunya bukan jumlah kekayaan yang kita ada tetapi punca dan cara kita dapat,” katanya.  

Terdahulu beliau melancarkan produk PNMB yang membangunkan perkhidmatan e-wallet, payment gate dan bill aggregator. 

Aplikasi tersebut turut menyediakan perkhidmatan kewangan selain aplikasi E-Pasaran bagi warga asing dan Bank Digital. – 14 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen