Ahli Parlimen pembangkang juga perlu isytihar harta, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada pelancara sistem myPortfolio di Putrajaya hari ini. Perdana menteri mahu ahli parlimen pembangkang turut isytihar harta mereka kepada SPRM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Mei, 2019

SEMUA ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang perlu mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kata Dr Mahathir Mohamad. 

“Kerana pembangkang menggunakan kuasa untuk mengkritik, mereka juga perlu isytihar harta mereka,” kata perdana menteri selepas merasmikan sistem myPortfolio di Putrajaya hari ini. 

Dr Mahathir berkata, pelaksanaan itu akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamed Ariff Md Yusoff. 

“Kita perlu melalui Speaker sebelum ini dimulakan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan telah memasukkan lima cadangan dari Pelan Antirasuah Nasional dalam petunjuk prestasi utama menteri.

“Semua menteri perlu memastikan semua ahli pentadbiran mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM.

“Mereka juga perlu memulakan dasar pemberian dan memastikan dasar dilaksanakan di kementerian mereka.

“Semasa tempoh pertama saya sebagai PM, saya diberikan 26 buah kereta. Saya serahkan semula dan kini ia di muzium di Langkawi. Namun pada masa akan datang, menteri tidak boleh terima lagi sebarang hadiah yang berharga lebih RM500.

“Mereka hanya boleh terima makanan dan bunga,” kata pemimpin berusia 93 tahun itu.

Mesyuarat khas kabinet kelapan mengenai anti rasuah juga menjadikan ketelusan perolehan sebagai keutamaan di kementerian.

Ia juga memutuskan untuk menerima pakai mekanisme lebih efektif terhadap pengeluaran permit dan lesen dalam sektor pertanian.

“Kami juga akan memantau bagaimana AP digunakan bagi memastikan tiada rasuah,” kata Dr Mahathir.

Mesyuarat yang diterajui Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), juga bersetuju untuk semua projek kerajaan melalui penilaian teknikal sebelum ditandatangani.

“Sebelum ini, kerajaan sebelum ini hanya menandatangani projek RM52 bilion tanpa dinilai jabatan teknikal. Dan kini kita tersangkut.

“Peranan jabatan teknikal adalah penting bagi memastikan pemantauan dan akauntabiliti secukupnya. – 14 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen