PENAMBAHAN 60% bilangan pelajar matrikulasi – daripada 25,000 menjadi 40,000 tahun ini – tidak akan menjejaskan peluang lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk masuk universiti, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau menjelaskan Malaysia memerlukan tenaga mahir dalam banyak bidang lain, dan tidak hanya bertumpu dalam bidang sains seperti perubatan, pergigian dan farmasi.
“Kebanyakan ibu bapa masih mahu anak-anak mereka mendaftar kursus sains tradisional terutama apabila dapat keputusan cemerlang.
“Aliran mereka selalu mahu anak mereka belajar (ialah) perubatan, farmasi atau pergigian tetapi skop pasaran kerja memerlukan lebih daripada itu,“katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini.
Program matrikulasi pada masa ini menawarkan tiga pilihan bidang iaitu sains, kejuruteraan dan perakaunan.
Maszlee berharap masyarakat kini lebih terbuka untuk meneroka bidang sains yang lain seperti nanoteknologi, bioteknologi malah sains data, yang semuanya mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja untuk jangka panjang.
“Apa yang kita lakukan sekarang ialah kita cuba memastikan pelajar yang datang ke matrikulasi akan disalurkan ke bidang yang tidak diambil kebanyakan pelajar kerana ibu bapa yang berfikiran seperti dahulu.
“Pasaran kerja ada di sana (dalam bidang sains baharu). Industri pekerjaan memerlukan banyak bakat. Di sinilah penambahan pelajar matrikulasi akan membantu kami menyediakan lebih banyak tenaga kerja untuk bidang tersebut,” tambahnya.
Maszlee juga menjelaskan tidak timbul dakwaan pertambahan pelajar matrikulasi akan menjejaskan peluang calon yang menggunakan STPM untuk masuk universiti.
“Tahun lepas, 5,000 tempat kursus sains tidak diisi,” katanya.
Pada 29 April lepas, Jemaah Menteri memutuskan menambah 15,000 tempat untuk matrikulasi menjadikan keseluruhan 40,000 tempat bermula tahun ini.
Keputusan kabinet itu dibuat selepas timbul rungutan daripada pemimpin kaum India dari MIC, DAP dan Gerakan yang mendakwa pelajar cemerlang kaum India tidak dapat tawaran ke matrikulasi dan kerajaan PH sudah mengurangkan kuota untuk kaum India.
Kabinet bagaimanapun mengekalkan sistem kemasukan mengikut kuota: 90% untuk Bumiputera, 10% untuk bukan Bumiputera – atau seorang pelajar bukan Bumiputera bagi setiap sembilan pelajar Bumiputera, dengan keutamaan bagi pelajar dari keluarga berpendapatan rendah B40.

Menurut Maszlee, matrikulasi memang ditubuhkan bagi membantu Melayu dan Bumiputera menyambung pengajian dalam bidang sains di universiti.
“Kerajaan lihat bahawa tidak ramai orang Melayu layak untuk belajar sains kerana mereka tidak mempunyai pendedahan yang baik di peringkat sekolah dan tidak berjaya mendapatkan gred yang baik kerana keadaan sosio-ekonomi mereka.
“Ia ditubuhkan dengan semangat untuk membantu orang Melayu berada di universiti kerana mereka adalah B40,” katanya.
Matrikulasi ialah program pra universiti setahun atau dua tahun bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di unversiti. Ia dikendalikan sejak 1980-an di setiap universiti dengan modul dan pelaksanaan yang berbeza.
Bagi tujuan penyeragaman, Kementerian Pendidikan mengambil alih program matrikulasi mulai tahun 1999.
Pada masa ini terdapat 17 pusat matrikulasi di seluruh Malaysia termasuk dua kolej yang dikendalikan Mara. – 12 Mei, 2019.
Komen