Isu matrikulasi selesai, kerajaan tambah 15,000 lagi tempat


Keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pagi ini, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2019.

PUTRAJAYA menambah 15,000 lagi tempat bagi program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, selepas timbul rungutan pemilihan kemasukan pada tahun ini meminggirkan pelajar cemerlang bukan Bumiputera.

Keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pagi ini, kata Maszlee.

Dalam keputusannya, Jemaah Menteri turut mengekalkan peratusan kuota seorang pelajar bukan Bumiputera bagi setiap sembilan pelajar Bumiputera, selaras dengan visi asal program matrikulasi iaitu menggalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

Penambahan 15,000 tempat itu menjadikan tempat matrikulasi tahun ini naik kepada 40,000 berbanding 25,000 sebelum ini. 

Jelas Maszlee, penambahan tempat itu bagi memastikan pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kerajaan Pakatan Harapan melihat wujud keperluan utama untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada Program Matrikulasi wajar dimaksimumkan untuk tujuan ini.

“Keputusan ini juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan Program Matrikulasi KPM dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

The Malaysian Insight difahamkan dasar pengambilan pelajar ke pusat matrikulasi itu akan terus memberikan keutamaan kepada mereka daripada golongan keluarga berpendapatan rendah atau B40.

Dalam pada itu, Maszlee berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mencari penyelesaian atas isu-isu berbangkit berhubung pertambahan jumlah penempatan pelajar matrikulasi tahun ini.

Antara pertimbangan yang akan diteliti, atas nasihat Jemaah Menteri, termasuk menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menampung pertambahan 15,000 pelajar.

Maszlee membangkitkan isu kemasukan pelajar ke pusat matrikulasi itu pada mesyuarat mingguan Jemaah Menteri pagi tadi selepas jadi polemik sejak seminggu lalu, selepas kementerian mengeluarkan keputusan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterima masuk tahun ini.

Kemasukan ke pusat matrikulasi tahun ini jadi isu apabila beberapa pemimpin kaum India dari DAP, MIC dan Gerakan mendakwa ada pelajar cemerlang kaum India tidak mendapat tawaran ke pusat matrikulasi.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan minggu lalu menjelaskan tawaran 2,200 tempat kepada pelajar kaum India dan 1,000 tempat kepada pelajar kaum Cina bagi program matrikulasi tahun lalu adalah inisiatif hanya sekali atau one off.

Ia ditawarkan pada masa itu berdasarkan keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota Bumiputera yang tidak diisi, kata kementerian.– 24 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen