Pipiyapong bebas beberapa jam selepas direman dua hari


Diyana Ibrahim

Penulis blog Pipiyapong atau nama sebenarnya Firdaus Abdillah Hamzah dibebaskan beberapa jam selepas ditahan reman bagi mebantu siasatan dakwaan membuat kenyataan yang mengaibkan keluarga diraja Johor. – Gambar Hazbi_Ghazan, 10 Mei, 2019

POLIS membebaskan penulis blog Firdaus Abdillah Hamzah atau Pipiyapong beberapa jam selepas mendapat perintah mahkamah menahannya di bawah reman bagi siasatan dakwaan membuat kenyataan yang mengaibkan keluarga diraja Johor, kata peguamnya.

Peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri memberitahu Firdaus dibebaskan di Balai Polis Skudai kira-kira jam 4.50 petang tadi selepas selesai memberi keterangan kepada polis.

“Beliau baru dibebaskan dengan jaminan polis. Pegawai penyiasat kata keterangan sudah diambil dan kes sudah selesai jadi tidak perlu tahan Firdaus,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Awal hari ini, Firdaus direman dua hari sehingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan adalah kesalahan sengaja mendatangkan aib dengan niat menggugat keamanan sementara Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia adalah berkenaan salah guna rangkaian Internet.

Firdaus ditahan polis semasa berada di Balai Polis Lipis, Pahang untuk memberi keterangan dan dibawa ke Johor, malam tadi.

“Menurut polis, itu SOP biasa sebab laporan dibuat ke Johor,” kata Muzammil.

Penahanan Firdaus mendapat perhatian luas di laman sosial termasuk mengundang reaksi segera Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa rakan penulis dan peminat menulis di Twitter yang membantah penahanan Firdaus turut melancarkan kempen di Twitter dengan tanda pagar #BebaskanPipiyapong dan #FreePipiyapong. Tanda pagar itu antara 10 yang popular di Twitter petang ini.

Dalam reaksinya, Perdana Menteri kesal dengan tindakan pihak polis menahan penulis blog itu.

Kata Dr Mahathir, rakyat berhak dan bebas mengkritik pemimpin termasuk raja-raja, jika perlu, dan mereka tidak harus ditahan polis hanya kerana berbuat demikian.

Perdana Menteri berkata sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi, mereka ada kebebasan untuk bersuara kecuali kebebasan itu digunakan untuk mengugut atau memfitnah.

“Rakyat bebas untuk mengkritik pemimpin jika perlu. Kebebasan bersuara adalah penting di dalam sesebuah demokrasi.

“Kecuali ugutan, fitnah, atau penghinaan terhadap raja-raja yang memerintah, mana-mana pemimpin boleh dikritik tanpa mengakibatkan terjejasnya hak rakyat untuk bersuara

“Saya merasa kesal dengan tindakan menangkap penggiat media sosial tersebut,” tulis Dr Mahathir di Twitter.

Dr Mahathir sebelum ini pernah menyuarakan kekesalan sama tujuh bulan lepas ketika polis menahan adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam kerana didakwa menghina beliau sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Iskandar meminta keluarga Istana Johor tidak dikaitkan dengan tindakan polis itu.

“Istana Johor tidak pernah buat report (polis) dari dulu hingga ke hari ini. Jikalau ada report ia kemungkinan dari pihak lain,” tulisnya di Twitter. – 10 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen