PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad kesal dengan tindakan pihak polis menahan seorang penulis blog yang dipercayai membuat kenyataan dikatakan mendatangkan malu kepada kerabat diraja Johor.
Kata Dr Mahathir, rakyat berhak dan bebas mengkritik pemimpin termasuk raja-raja yang memerintah, jika perlu, dan mereka tidak harus ditahan polis hanya kerana berbuat demikian.
Perdana menteri berkata, sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi, mereka ada kebebasan untuk bersuara kecuali kebebasan itu digunakan untuk mengugut atau memfitnah.
“Rakyat bebas untuk mengkritik pemimpin jika perlu. Kebebasan bersuara adalah penting di dalam sesebuah demokrasi.
“Kecuali ugutan, fitnah, atau penghinaan terhadap raja-raja yang memerintah, mana-mana pemimpin boleh dikritik tanpa mengakibatkan terjejasnya hak rakyat untuk bersuara
“Saya merasa kesal dengan tindakan menangkap penggiat media sosial tersebut,” kata Perdana menteri dalam satu kenyataan ringkas di Twitter.
Beliau mengulas tindakan polis menahan penulis blog Firdaus Abdillah Hamzah atau Pipiyapong malam tadi kerana tulisannya di media sosial yang dipercayai ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor.
Firdaus direman dua hari di Skudai, Johor sehingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dr Mahathir pernah menyuarakan kekesalan sama tujuh bulan lepas ketika polis menahan adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam kerana didakwa menghina beliau sebagai perdana menteri.
Muthalib Uthman yang juga pengasas penerbit buku Dubook Press yang dihubungi memberitahu The Malaysian Insight, Firdaus ditahan selepas memberi keterangan di Balai Polis Lipis, Pahang malam tadi dan kemudian dibawa Johor.
Beliau juga memaklumkan melalui Twitter, Firdaus kini ditahan di Balai Polis Skudai dan seorang peguam sudah pun dilantik.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan adalah kesalahan sengaja mendatangkan aib dengan niat menggugat keamanan sementara Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia adalah berkenaan salah guna rangkaian Internet.
Sementara itu, beberapa rakan penulis dan peminat menulis di Twitter membantah penahanan Firdaus dengan #BebaskanPipiyapong dan #FreePipiyapong.
Tanda pagar itu antara 10 yang popular di Twitter petang ini. – 10 Mei, 2019
Komen