PENSTRUKTURAN semula pinjaman peneroka Felda dan membangunkan semula projek perumahan terbengkalai adalah sebahagian daripada rancangan Pakatan Harapan (PH) untuk membaiki agensi pembangunan tanah negara yang bermasalah sekiranya diundi sebagai kerajaan pusat.
Rancangan itu didedahkan kepada umum pada ceramah malam tadi adalah sebahagian besar usaha pakatan pembangkang untuk meraih undi daripada kumpulan penting itu pada pilihan raya umum akan datang.
Ketika mengumumkan rancangan itu, pemimpin PH Mazlan Aliman menggesa peneroka untuk tidak terpengaruh dengan “gula-gula” parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang hanya mahukan undi peneroka.
“Jika BN beri anda RM5,000, tolong pertimbangkan adakah ia cukup untuk lima tahun lagi. Berapa banyak mulut yang boleh diisi dengan RM5,000?” kata Mazlan kepada khalayak yang datang pada ceramah Malam Semarak Kasih Felda di Jengka, Pahang malam tadi.
Pentadbiran Najib, dakwa Mazlan sudah salah urus Felda dan tidak mampu lagi menyediakan sumber pendapatan yang baik dan berkekalan untuk peneroka.
“Dahulu, Felda Plantations (anak syarikat Felda) boleh jana RM1 bilion pendapatan untuk Felda. Ia memberikan 80% pendapatan Felda supaya ia tak perlu bergantung kepada kerajaan,” kata Mazlan.
“Tetapi kemudiannya FGV (Felda Global Ventures Holdings) ditubuhkan di bawah (pentadbiran) Najib untuk ganti Felda Plantations. Dan tiba-tiba Felda hilang aliran pendapatannya,” kata Mazlan yang merupakan anak peneroka Felda dari Johor.
Ceramah anjuran Pakatan Harapan itu adalah usaha terbaru untuk meraih undi di Felda, kawasan pembangunan tanah terbesar negara yang mempunyai 54 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Terdapat sejumlah 112,000 keluarga tinggal di penempatan Felda dan jumlah mereka dianggarkan mencecah sejuta orang.
Peneroka sudah banyak kali mengadu tentang masalah pelangsaian hutang mereka dengan Felda kerana pinjaman yang dibuat untuk penanaman semula tanah dan bayaran yang tidak konsinsten Felda untuk hasil tuaian mereka.

Mazlan berkata lebih 530 unit rumah untuk generasi kedua peneroka di Johor masih belum disiapkan walaupun projek itu dimulakan tiga tahun lalu.
Dalam usaha meredakan kekecewaan peneroka, pentadbiran Najib mengumumkan pakej insentif untuk peneroka Felda Julai lalu.
Pakej itu termasuklah bonus khas bernilai RM5,000 yang sepatutnya dibayar pada hujung Ogos lalu untuk 94,956 keluarga peneroka berjumlah RM474.78 juta dan pelbagai insentif lain bagi membantu melangsaikan hutang peneroka.
Ini termasuklah pelangsaian hutang sebanyak RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih melakukan penanaman semula dengan Felda. Sejumlah RM519 juta diperuntukan untuk insentif ini.
Geran bernilai RM300 juta juga disediakan untuk melangsaikan hutang pinjaman yang diambil peneroka bagi membeli saham FGV.
Mazlan bagaimanapun, mempersoalkan sama ada pentadbiran Najib berupaya menunaikan janji mereka berdasarkan rekod buruk dalam Felda dan FGV ketika ini.
FGV yang merupakan cetusan idea Najib kini berdikit untuk keluar daripada kemelut pentadbiran korporat syarikat itu. Bekas pengerusi dan sekutu rapat Najib, Mohd Isa Abdul Samad baru-baru ini ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dengan salah tadbir dan korupsi pentadbiran syarikat itu.
Mohd Isa bagaimanapun dibebaskan daripada reman dan masih belum didakwa. – 20 September, 2017.
Komen