ATAS alasan India Muslim juga Melayu, 60 lepasan SPM merayu supaya mereka diterima masuk ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan melalui kuota untuk Bumiputera.
Peguam mereka Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata sekiranya rayuan kepada pihak kementerian tidak diterima, Persatuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) akan membawa hal itu ke mahkamah untuk mendapat pengiktirafan status India Muslim sebagai Melayu.
Jelas Haniff, kaum India Muslim sebenarnya berhak diktiraf sebagai Melayu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan Melayu sebagai seseorang yang beragama Islam, lazim bertutur Bahasa Melayu dan mengikut adat resam Melayu, dengan syarat ibu bapa atau salah seorang ibu atau bapa lahir di negara ini sebelum Merdeka.
“Kesemua mereka Melayu secara berperlembagaan walau seratus peratus mereka keturunan dari India,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Permim kini sedang mengumpul dokumen pengenalan diri ahli keluarga 60 pelajar tersebut untuk bukti mereka boleh diterima sebagai Melayu mengikut tafsiran Perlembagaan.
Langkah seterusnya, mereka akan memohon kepada Kementerian Dalam Negara (KDN) untuk membetulkan semula dokumen pendaftaran anak Malaysia yang mempunyai hak sebagai Melayu berperlembagaan, kata Haniff.
Jelas beliau, konsep sama terpakai kepada warganegara Malaysia apa keturunan sekali pun – boleh diiktiraf sebagai Melayu berperlembagaan, asalkan memenuhi tiga ciri dan syarat di bawah Perkara 160 itu.
“Ini bukan hanya soal India Muslim, ini maksud sebenar Melayu di bawah Perlembagaan.
“Perlembagaan di Malaysia mewujudkan satu bangsa ‘hypothetical’ walaupun biologi lain… ia tidak salah.
“Sama juga kalau anda Cina, Pakistan, Siam, atau Filipina tapi kalau memenuhi ciri-ciri Melayu mengikut Perlembagaan, kerajaan tidak boleh nafikan hak itu.”

Rayuan
Semua 60 pelajar itu, melalui sepucuk surat daripada Permim, membuat rayuan kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada 22 April lepas untuk dipertimbangkan masuk ke matrikulasi.
“Mereka ini pelajar cemerlang namun kerana bukan tergolong sebagai Melayu, mereka tidak mendapat peluang,” kata Haniff.
Permim sejak beberapa tahun lalu mendesak kerajaan mengiktiraf India Muslim sebagai Bumiputera dan Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Pengiktirafan itu penting bagi masyarakat India Muslim yang dianggarkan lebih kurang 650,000 untuk menikmati pelbagai kemudahan dan peluang kepada Melayu dan Bumiputera, termasuk dalam soal pendidikan.
Selain matrikulasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga ini dilaporkan tidak menerima pelajar keturunan India Muslim, melainkan salah seorang ibu bapa mereka berketurunan Melayu atau Bumiputera.
Pada 2009, Permim pernah menghantar memorandum sekali kepada kerajaan semasa Abdullah Ahmad Badawi perdana menteri dan selepas itu dua kali kepada Najib Razak.
Pada 2017, dalam satu majlis anjuran Permim, Najib mengumumkan rancangan kerajaan untuk memberi pengiktirafan Bumiputera kepada masyarakat India Muslim di Malaysia.

Menurut Haniff, tidak adil jika pelajar India Muslim lepasan SPM terlepas peluang menyambung pelajaran di matrikulasi atau mana-mana institusi pengajian tinggi kerana status mereka terpaksa berkongsi kuota dengan bukan Bumiputera.
Kemasukan ke pusat matrikulasi tahun ini jadi isu apabila beberapa pemimpin kaum India dari DAP, MIC dan Gerakan mendakwa ada pelajar cemerlang kaum India tidak mendapat tawaran ke pusat matrikulasi.
Susulan itu, kerajaan pada 24 Mei lalu mengumumkan tambahan 15,000 tempat menjadikan keseluruhannya 40,000 tempat tahun ini.
Kelmarin, Dr Mahathir Mohamad mengakui sistem matrikulasi diwujudkan untuk mengimbangi kemasukan pelajar ke universiti agar kaum Melayu tidak ketinggalan.
Dalam pada itu, Presiden Permim Dhajudeen Shahul Hameed berkata masa depan kaum India Muslim goyah kerana banyak keistimewaan yang sepatutnya dapat mereka nikmati tetapi terlepas kerana isu status kaum.
Katanya, isu itu sudah lama dibangkitkan kepada kerajaan tetapi tiada maklum balas.
“Sebab itu kita terpaksa beranikan diri tampil isu ini. Kerana kita Melayu Islam, kita sembayang di masjid sama, saf sama, lazimnya kita cakap Melayu.
“Bukan kita tak bangga dengan kaum kita (India Muslim) tapi kalau ikut Perlembagaan kita berhak (diterima sebagai Melayu),” katanya.
Sementara itu, Haniff percaya isu itu tidak perlu sampai diheret ke mahkamah kerana ia boleh diselesaikan pada peringkat dasar.
Namun jika penyelesaiannya mengambil masa dan sukar, Permim tiada pilihan, katanya.
“Kalau ke medan mahkamah kita nak selesaikan secara baik… bukan nak berbalah, cuma mohon hak pengiktirafan.” – 8 Mei, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Be fair · Ulasan