Pemimpin Kristian, Majlis Peguam mahu jawapan kehilangan 5 aktivis


Chan Kok Leong

PEMIMPIN gereja dan Majlis Peguam Malaysia mendesak pihak berkuasa serta pemimpin kerajaan menyiasat kes penculikan dan kehilangan empat aktivis dalam tempoh enam bulan ini

Bimbang dengan penculikan misteri Pastor Raymond Koh dan kehilangan Joshua Hilmy dan isterinya Ruth serta Amri Che Mat, Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) Rev Dr Hermen Shastri berkata beberapa pemimpin Kristian menyatakan kebimbangan mereka kepada pihak berkuasa.

“Pemimpin Kristian menghubungi pihak berkuasa dan pemimpin kerajaan untuk meminta mereka menyiasat mengenai penculikan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami juga menyuarakan kebimbangan mengenai penculikan (Koh) dan berharap pihak berkuasa sentiasa memaklumkan kepada kami perkembangannya,” tambahnya.

Pengerusi Pertubuhan Kristian Malaysia, Rev Eu Hong Seng mengesahkan pertemuan dengan kerajaan dan pemimpin politik lain.

“Benar, kami berjumpa pihak berkuasa dan pemimpin kerajaan bagi menyatakan kebimbangan mengenai penculikan Pastor Koh dan yang lain.

“Dan kami yakin mereka sudah mengambil langkah sepatutnya. Sehingga semuanya selesai, kami berdoa bagi kepulangan mereka dengan selamat,” kata Eu yang juga adalah pengerusi National Evangelical Christian Fellowship.

Seluruh rakyat Malaysia bimbang dan berharap misteri ini akan berjaya dirungkai segera, kata Ketua Biskop Gereja Anglican Ng Moon Hing, memberitahu The Malaysian Insight.

“Pemimpin Kristian sangat bimbang dengan penculikan Pastor Raymond Koh. Kini, dengan kehilangan beberapa orang lagi, ia semakin membimbangkan.

“Kami bersimpati dengan keluarga mereka yang hilang dan juga berdoa agar pihak perkuasa dapat membantu menyelesaikan misteri sesegera mungkin. Saya percaya pemimpin Kristian bersedia membantu semampu yang boleh bagi mencari mereka ini,” kata Ng.

Sementara itu, presiden Majlis Peguam Negara yang baru dilantik George Varughese berkata ia amat mengejutkan dengan jumlah peningkatan rakyat Malaysia yang hilang dan tidak dapat ditemui selama berhari-hari, minggu dan bulan.

“Kekurangan ketara maklumat mengenai langkah diambil pihak berkuasa bagi mencari dan menemui semula lima individu yang hilang paling menganggu, dan menimbulkan keraguan membimbangkan terhadap tahap perlindungan dan keselamatan di negara ini.

“Lebih-lebih lagi dalam kes Pastor Raymond Koh, kerana penculikan beliau berjaya dirakam beberapa kamera litar tertutup,” kata Varughese dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Hanya tindakan konkrit dan jelas pihak berkuasa akan mengurangkan kebimbangan dan ketakutan orang ramai, dan menanam keyakinan kepada tahap perlindungan dan keselamatan negara. Dalam hal ini, Majlis Peguam Malaysia juga menyeru polis memberikan perkembangan terkini mengenai status siasatan mereka secara berkala.”

Ahad lalu, CCM menganjurkan acara “Hari Solidariti – Ke arah Keadilan dan Keamanan” di pusat CCM.

Acara itu sebagai solidariti memperingati empat aktivis yang masih hilang.

Antara yang hadir pada acara itu ialah Presiden Hakam Ambiga Sreenevasan, bekas menteri Zaid Ibrahim, aktivis sosial Marina Mahathir dan Ketua Biskop Kuala Lumpur Julian Leow.

Pada masa sama ketika acara itu diadakan di Petaling Jaya, aktivis kelima yang juga bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Peter Chong, turut dilaporkan hilang oleh anak lelakinya, Daryl Chong.

Bekas pegawai khas Ahli Parlimen Subang R Sivarasa itu hilang sejak 5 April.

Pesanan terakhirnya di Twitter dan Facebook pada 6 April tertulis “Semuanya mengenai agama #RUU355 dalam PRU14 – masa depan menakutkan untuk Malaysia”.

Turut dilaporkan seorang daripada lima terawal yang hilang adalah Amri Che Mat dari Perlis. Beliau adalah aktivis sosial, pedagang tukaran wang asing dan pengasas sebuah badan kebajikan, Perlis Hope. Beliau dilihat kali terakhir di kediamannya pada 24 November 2016.

Lebih kurang seminggu kemudian, Joshua Hilmy pula dilaporkan hilang, seorang Islam yang sudah bertukar agama. Isterinya, Ruth juga dipercayai turut hilang.

Koh diculik daripada kereta Honda Accord berwarna perak pada 13 Februari. Kes Koh mendapat perhatian apabila rakaman CCTV penculikannya menjadi viral di media sosial. – 11 April, 2017.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Orang lain pun reti guna khidmat private investigator...

    Dimuat naik 9 tahun yang lalu oleh Aris Penampar · Ulasan