Libatkan diri jika mahu keadilan, kata Ambiga


Chan Kok Leong

(Dari kiri) Ketua Biskop Julian Leow, Marina Mahathir, Ambiga Sreenevasan dan Zaid Ibrahim pada majlis Hari Solidariti di Pusat Ecumenical CCM hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 9 April, 2017.

PEGUAM terkemuka yang kini peguam bela bagi hak asasi manusia Ambiga Srineevasan menggesa orang ramai terlibat dalam proses politik jika mahu melihat keadilan diguna pakai.

Pada Hari Solidariti – perhimpunan ke arah keadilan dan acara keamanan di Pusat Ecumenical CCM, bekas presiden Majlis Peguam itu berkata terdapat kekurangan keadilan dan hakisan dalam kedaulatan undang-undang di Malaysia.

“Idea bertindak dengan adil tidak berakar umbi dalam institusi kita,” kata Ambiga kepada kira-kira 300 orang pada majlis petang tadi.

Memetik kes baru-baru ini yang berkaitan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, beliau berkata penyerang beliau berhadapan denda RM100 berbanding denda yang dikenakan kepada aktivis Lena Hendry sebanyak RM10,000 kerana menayangkan dokumentari perang saudara Sri Lanka, “No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka”.

“Dan tambahan kepadanya, peguam negara bercadang merayu terhadap jumlah denda itu. Jumlah RM10,000 sudah terlalu banyak,” kata presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) itu.

Ambiga juga menggalakkan orang ramai mengambil peranan lebih aktif dalam proses politik dengan membantu mendaftarkan lebih ramai pengundi dan bekerja sukarela di tempat mengundi atau ejen mengira.

“Setiap orang harus kembali dan mendaftarkan 30 pengundi baru,” kata Ambiga. Menurut beliau terdapat 4 juta pengundi tidak berdaftar.

Memetik kata-kata daripada buku “The Micah Mandate” karya George Grant, Ambiga berkata selain menjalankan keadilan, rakyat Malaysia juga perlu ada belas ihsan dan rendah diri.

“Ini adalah mengenai keseimbangan, keamanan dan pencapaian keamanan di mana pemimpin mesti menunjukkan kerendahan hati. Sebaik sahaja anda berkuasa, tidak sepatutnya ia disalah guna,” kata Ambiga.

Salah satu dasar yang beliau harap diimplementasikan apabila negara dipimpin pembangkang, Pakatan Harapan adalah mengenakan had tempoh kepada menteri.

“Mereka harus dihadkan kepada dua penggal. Itu adalah cara untuk terus mendapatkan perubahan yang kita mahu,” kata Ambiga.

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim juga meminta orang ramai berani dan menumpukan kepada isu berkaitan keadilan dan kesaksamaan.

“Saya fikir kita hidup dalam sebuah negara di mana rakyat dipecahbelahkan oleh isu agama. Dan bagaimana bukan Islam tidak perlu terlibat, tetapi mari kita terlibat dalam urusan semua orang.

“Orang bukan Islam juga mesti mempertahankan Islam dan sebaliknya. Mari bekerja atas prinsip keadilan mengenai isu seperti perkahwinan kanak-kanak. Anda perlu membantu orang yang baik mengalahkan orang jahat,” kata Zaid.

Aktivis sosial Marina Mahathir berkata adalah penting untuk tidak terganggu oleh apa yang berlaku sekarang, sambil menambah rakyat Malaysia mesti meneruskan perpaduan mereka dengan satu sama lain.

Turut hadir ialah Ketua Biskop Kuala Lumpur Julian Leow yang menjelaskan haji adalah metafora bagi orang ramai bagi perjalanan kepada kesucian dan kebaikan tertinggi, sambil menambah keadilan dan keamanan adalah ekspresi terhadapnya.

Beliau berkata Kristian harus bertekad menghapuskan ketidakadilan dan menggalakkan keamanan, tetapi menambah ia akan menjadi perjalanan yang panjang. – 9 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen