PAKATAN Harapan belum puas hati dengan apa yang dicapai setakat ini, sebaliknya perlukan masa untuk memenuhi janji dan menyelesaikan masalah negara, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga presiden Bersatu berkata kerajaan perlu masa dua atau tidak tahun untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan asal dan menyelesaikan isu-isu utama yang membelenggu negara.
“Saya setuju bahawa ada janji-janji yang belum dipenuhi tetapi kita bukannya hendak mencari alasan,” katanya dalam wawancara khas menjelang setahun kerajaan PH.
Menurut Muhyiddin, beliau sedar ada tanggapan dalam kalangan rakyat kononnya kerajaan lambat bertindak untuk menangani isu-isu mustahak.
“Kita faham kebimbangan mereka tetapi kita juga perlu selesaikan masalah yang lebih besar dahulu.
“Kita berusaha bersungguh-sungguh untuk betulkan keadaan tetapi ia makan masa. Isu-isu yang ada bukannya isu biasa… ini isu besar yang menjejaskan negara. Ia memerlukan kesungguhan dan keazaman politik yang kuat,” katanya.
Kaji selidik Merdeka Centre baru-baru ini, yang dibuat menjelang setahun kerajaan PH, mendapati majoriti pengundi sedia memberikan masa kepada PH untuk menunaikan janji pilihan raya.
April lalu, penasihat kerajaan Daim Zainuddin juga berkata kerajaan perlu masa enam bulan lagi untuk membetul dan menyelesaikan isu-isu yang dihadapinya.

Komunikasi
Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengakui menteri-menteri perlu berkomunikasi dengan lebih berkesan terutamanya melalui media sosial, walaupun hakikatnya sukar untuk berdepan dengan kederasan aliran maklumat.
Katanya, sesetengah menteri masih baru dalam soal pentadbiran kerajaan dan mungkin menumpukan lebih perhatian kepada hal ehwal kementerian masing-masing berbanding soal komunikasi.
Muhyiddin adalah antara menteri dan ahli politik yang berpengalaman, pernah memegang beberapa jawatan kerajaan semasa berkhidmat dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Beliau pernah memegang portfolio pendidikan, pertanian, perdagangan dalam negeri dan pengguna, serta belia dan sukan, selain pernah jadi menteri besar.
Jawatan akhirnya sebelum digugurkan dari kabinet bekas perdana menteri Najib Razak pada pertengahan 2015 ialah timbalan perdana menteri.
Muhyiddin kemudian dipecat dari Umno pada Jun 2016. Episod itu membawa kepada penubuhan Bersatu bersama Dr Mahathir Mohamad, yang kemudiannya menamatkan persaraan politik untuk bertanding dalam pilihan raya umum, menang dan diangkat sekali lagi sebagai perdana menteri.
Muhyiddin, yang juga menang kerusi Parlimen Pagoh, dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dalam kabinet Dr Mahathir.
Mengenai pengalamannya bersama kerajaan BN dan PH, Muhyiddin berkata apa yang perlu ditangani oleh pentadbiran sekarang tidak sama dengan kerajaan sebelum ini.
Beliau menyebut contoh PH terpaksa membersihkan tinggalan kerajaan kleptokrat, sesuatu yang tidak berlaku pada masa BN berkuasa.
Katanya, kerajaan hari ini sedang berusaha menyelesaikan masalah kewangan, salah pengurusan dan penyelewengan pentadbiran BN, berbanding kerajaan sebelum ini yang ada isunya sendiri.
Beliau berharap kerajaan diberi ruang untuk menangani isu yang diwarisinya dan dinilai dengan lebih saksama selepas dua atau tiga tahun. – 6 Mei, 2019
Komen