RAMAI rakyat Malaysia berpendapat kerajaan perlukan lebih banyak masa untuk tunaikan janji pilihan raya, menurut kajian Merdeka Center.
Badan kajian itu menyebut, 32% daripada 1,204 pengundi yang dikaji sangat bersetuju dengan pernyataan itu dan 35% lagi juga bersetuju.
Pengundi India didapati paling ramai bersetuju kerajaan perlukan lebih banyak masa, sebanyak 90%.
Ia diikuti pengundi Cina (87%), Bumiputera bukan Islam (75%) dan Bumiputera Islam (68%).
Kelompok pengundi Melayu pula paling ramai berpendapat kerajaan tidak perlukan lebih banyak masa untuk tunaikan janji PRU14, seramai 44%.
Jumlah keseluruhan yang sangat tidak bersetuju pula seramai 18%, diikuti 12% yang menyatakan tidak bersetuju.
Kajian terbaru di seluruh Malaysia ini dilakukan antara 5 hingga 11 Mac lalu bertujuan meninjau persepsi pengundi terhadap ekonomi, kepimpinan, dan isu-isu semasa.
Seramai 1,204 pengundi itu terdiri daripada pecahan 52% Melayu, 29% Cina, 7% India, masing-masing 6% Bumiputera Islam dan bukan Islam di Sabah dan Sarawak – yang mencerminkan demografi pengudi negara.
Penasihat kerajaan, Daim Zainuddin pada pertengahan bulan ini menyebut kerajaan memerlukan masa enam bulan lagi untuk memulihkan negara.
Dalam tempoh itu, kerajaan perlu berdepan dengan rakyat dan memberi penerangan tepat terutama dalam hal ekonomi semasa.
Kekalahan Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil DUN Rantau pada bulan ini juga menunjukkan rakyat tidak mampu bersabar dengan situasi semasa, katanya. – 26 April, 2019.
Komen