PUTRAJAYA belum membuat keputusan sama ada mahu menyimpan atau menjual syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mengakui kerugian dan pengurusan syarikat penerbangan kebangsaan itu ‘sangat teruk’ dan sukar untuk dipulihkan.
Perdana menteri berkata, kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd telah menyuntik RM6 bilon pada 2014 bagi membantu pelan pemulihan syarikat penerbangan itu.
Di samping itu, MAB juga telah menamatkan perkhidmatan 6,000 pekerjanya dan beberapa laluan utama dihentikan.
“Semuanya memberitahu saya kita perlu melakukannya ikut cara ini atau cara lain. Namun, belum ada yang tampil dengan jalan penyelesaian yang benar-benar boleh berjaya,” katanya dalam satu wawancara khas yang diadakan sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan.
MAB telah gagal mencapai matlamat utama pelan pemulihan untuk memperoleh keuntungan dan disenaraikan semula dengan saham terbitan awam (IPO)
Dr Mahathir menambah, kemunculan syarikat penerbangan kos rendah juga menjadikan sektor penerbangan lebih kompetitif. – 6 Mei, 2019.
Komen