KETUA Polis Negara yang baru dilantik, Abdul Hamid Bador berkata bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa sudah diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai proses ekstradisi Ng yang dipercayai pada Jumaat lalu.
The Edge Markets hari ini melaporkan Ng diekstradisi ke AS untuk didakwa bagi tuduhan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Sumber dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) memaklumkan The Malaysian Insight ia adalah sebahagian daripada perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Jabatan Kehakiman AS (DoJ).
Menurut sumber itu lagi, Ng sendiri bersetuju untuk dibicarakan di mahkamah daerah timur New York di AS.
“Perjanjian dibuat antara kerajaan Malaysia dan DoJ, tetapi saya tidak boleh mendedahkan maklumat mengenainya.
“Ng sendiri setuju untuk membela diri di AS,” kata sumber itu.
Pada 19 Disember tahun lalu, Ng dihadapkan dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan nota terjamin dan bon milik anak syarikat 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion dengan mengeluarkan fakta material dan membuat kenyataan tidak benar.
Ng mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan. – 6 Mei, 2019.
Komen