Perubahan sistem pilihan raya Malaysia makin hampir jadi realiti


Sheridan Mahavera

ERC ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebagai janji pembaharuan institusi. Saranan daripada ERC serta draf undang-undang yang perlu diubah akan dikemukakan pada Putrajaya pada pertengahan 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2019.

MALAYSIA semakin hampir menukar sistem pilihan raya “first-past-the-post” (pemenang undi terbanyak) apabila parti politik termasuk parti pembangkang Umno dan PAS, menyuarakan sokongan terhadap cadangan itu.

Sumber Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) yang dibentuk oleh Putrajaya, berkata sokongan semua parti politik amat penting memandangkan perubahan cara rakyat Malaysia memilih wakil rakyat akan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Umno dan PAS, dua parti yang memiliki keahlian paling ramai, menyokong idea menukar sistem FPTP selepas berbincang perkara itu dengan anggota ERC.

“Mereka melihat kebaikan dan keburukan sistem itu terutamanya apabila sebuah parti politik kalah, mereka tidak akan mendapat apa-apa walaupun parti itu mungkin mendapat 49% undi dalam mana-mana kerusi yang diberikan,” kata sumber itu yang terlibat dalam pertemuan bersama parti politik terbabit.

Umno dan PAS juga bersetuju untuk satu lagi cadangan ERC iaitu menetapkan pengundi untuk mengundi di kawasan yang mereka tinggal berbanding kampung halaman mereka.

Jika dikuatkuasakan, tiada lagi istilah pengundi luar iaitu mereka yang mendaftar mengikut tempat kelahiran atau alamat ibu bapa, dan pulang ke kampung setiap kali mengundi.

Dua usul ini antara yang dikaji ERC sebagai sebahagian usaha pembaharuan sistem pilihan raya Malaysia yang sebelum ini sering dikritik mempunyai kelemahan dan terdedah kepada amalan rasuah.

ERC ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebagai janji pembaharuan institusi. Saranan daripada ERC serta draf undang-undang yang perlu diubah akan dikemukakan pada Putrajaya pada pertengahan 2020.

Jawatankuasa itu yang diketuai oleh bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Rashid Abdul Rahman, kini menjelajah seluruh negara untuk bertemu orang awam, persatuan awam, media dan parti politik bagi membincangkan usul tersebut.

Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya turut mencadangkan untuk menetapkan pengundi mengundi di kawasan yang mereka tinggal berbanding kampung halaman mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2019.

Cadangan lain

Walaupun dianggap mudah untuk dilaksanakan, sistem FPTP juga mempunyai kelemahan kerana ia hanya memberi ruang kecil  kepada golongan minoriti untuk bersuara atau kumpulan pembangkang mempunyai wakil.

Pakar politik sebelum ini pernah mencadangkan sistem FPTP diubah kepada sistem perwakilan berkadar yang memberi peluang kepada lebih ramai wanita dan individu dari kumpulan etnik minoriti dipilih.

Satu lagi sumber ERC berkata jawatankuasa itu mempertimbangkan beberapa bentuk sistem anggota campuran bagi menggantikan FPTP.

Sebagai contoh, pilihan raya yang menggunakan senarai calon pelbagai ahli (MMM) seperti di Timor Leste, Singapura, Indonesia dan Filipina, membenarkan parti meletakkan lebih ramai calon wanita dan memastikan mereka ada peluang besar untuk dipilih.

Antara cadangan lain yang dikemukakan ERC adalah:

* membentuk satu suruhanjaya berbeza untuk menetapkan persempadanan semulan dan persempadanan kawasan pilihan raya.

* Peraturan yang ketat untuk membentuk kerajaan sementara semasa pilihan raya umum.

* Menetapkan tarikh untuk pembubaran Parlimen dan pilihan raya.

* Peraturan lebih ketat untuk pembiayaan parti politik termasuk pilihan menyediakan wang kerajaan untuk mereka semasa pilihan raya.

* Mengubah proses penamaan calon semasa supaya mereka yang bertanding dalam pilihan raya boleh mendaftar secara dalam talian dan tidak perlu datang ke pusat.

* Memastikan akses yang adil dan saksama kepada media untuk semua pihak dan calon semasa tempoh kempen.

* Pendaftaran undi secara automatik untuk rakyat Malaysia apabila mencapai 18 tahun. – 6 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen