Ubah sistem pilihan raya untuk penuhi kuota wanita 30%, kata pakar


Sheridan Mahavera

Pakatan Harapan gagal memenuhi janjinya ketika kempen PRU14 bagi menyediakan kuota 30% untuk wanita dalam Kabinetnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2018.

TIDAK mencapai 30% kuota wanita dalam Kabinet menjadi kegagalan pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam memenuhi janji pilihan raya, kata pakar politik.

Tetapi, Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata ia bukan kerana sistem dalam kalangan parti PH, tetapi lebih kepada salah sistem pilihan raya negara ini.

Sistem di Malaysia yang pemenang dapat semua, calon ahli perseorangan, pemenang undi terbanyak (FPTP) menjadikan sukar untuk melaksanakan kuota membenarkan lebih ramai wanita dan ahli kumpulan minoriti dipilih sebagai calon dan mendapat jawatan.

Wong berkata untuk melihat lebih ramai wanita atau minoriti seperti Orang Asli, menjadi wakil rakyat, kerajan baharu perlu mendesak perubahan dalam sistem pilihan raya.

Kegagalan PH memenuhi kuota itu sebahagiannya kerana gabungan politik, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Jawatan menteri dan timbalan menteri diperuntukkan untuk empat parti – PKR, DAP, Bersatu dan Amanah – dan juga Parti Warisan Sabah.

“Dengan barisan depan 50 ahli Parlimen, 30% bermaksud 15 sepatutnya wanita. Memandangkan Bersatu dan Warisan mempunyai seorang ahli Parlimen wanita setiap satu, dan Amanah tiada, bagi memenuhi 30% itu bermakna, PKR dan DAP terpaksa memberi lebih calon untuk mengimbangkan gender dalam sekutu mereka.

“Namun, ia akan mengganggu keseimbangan antara dua parti jika tujuh daripada 14 jawatan diberikan kepada PKR dan enam daripada 12 untuk DAP diberikan kepada wanita, maka ia akan melangkaui ramai pemimpin lelaki yang senior.”

Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata kegagalan memenuhi kuota wanita dalam Kabinet bukan kerana sistem dalam kalangan parti PH, tetapi salah sistem pilihan raya negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2018.

Bersatu, Amanah dan Warisan tidak mempunyai ahli Parlimen wanita kerana mereka mencalonkan terlalu sedikit calon wanita di kerusi yang boleh menang.

“Inilah masalah yang berpunca daripada sistem pilihan raya kita,” kata Wong.

Pilihan raya yang menggunakan senarai calon pelbagai ahli (MMM) seperti di Timor Leste, Singapura, Indonesia dan Filipina, membenarkan parti meletakkan lebih ramai calon wanita dan memastikan mereka ada peluang besar untuk dipilih.

Menurut laporan pada 2017, Timor Leste mempunyai bahagian tertinggi wakil rakyat wanita di Asia Tenggara, iaitu 38.5% daripada barisan kepimpinan kerajaannya.

Laporan itu meletakkan negara itu di tangga ke-18 daripada 193 negara.

Di tangga 49 ialah Filipina, yang mempunyai 29.5% wakil wanita, Singapura di tangga 73 (23.8%) dan Indonesia di tangga 99 (19.8%).

Malaysia ditarafkan di tangga 156, dan bahagiannya pada tahun lalu ialah 10.4%.

Yeong Pey Jung dari Penang Institute berkata bahagian Malaysia meningkat 14.4% selepas PRU14.

Kira 18% menteri dan timbalan menteri adalah wanita, tetapi masih jauh daripada 30% yang dijanjikan PH pada kempen PRU14.

MMM melawan FPTP

Dalam sistem ahli tunggal FPTP di Malaysia, terdapat seorang calon bagi setiap kerusi Parlimen atau DUN.

“Bagi melaksanakan kuota gender secara berkesan dalam sistem FPTP, parti-parti perlu meletakkan calon wanita di kerusi yang boleh menang,” kata Wong.

“Tetapi bagaimana pula jika kerusi itu mempunyai calon lelaki yang kuat, sama ada penyandang atau mereka yang bekerja keras di akar umbi untuk tempoh masa yang lama?”

Sistem seperti itu menyukarkan parti meletakkan wanita, kerana bimbang mereka akan kalah di kerusi itu kerana hanya boleh meletakkan satu calon bagi setiap kerusi.

Dalam sistem MMM, pengundi biasanya memilih antara empat hingga enam calon.

“Jika satu parti menang semua kerusi, semua calon dalam senarai itu akan menjadi wakil rakyat. Jadi, antara empat atau enam calon itu, sesebuah parti boleh memasukkan seorang wanita bagi setiap lelaki, contohnya,” kata Wong.

“Ini bagi memastikan wanita turut terpilih, bersama yang lain.”

Kuota gender lebih mudah dilaksanakan dalam kawasan pelbagai ahli, seperti “senarai wakil yang seimbang” atau Senarai-PR di Indonesia dan Wakil Kawasan Berkumpulan di Singapura. – 14 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen