PERARAKAN awam hak Melayu dijadualkan esok adalah satu provokasi, tetapi ia akan dibenarkan selagi penganjur mematuhi peraturan dan tidak menimbulkan ketegangan kaum atau agama, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin menambah tidak perlu perarakan itu dianjurkan, kerana orang Melayu dan Islam Malaysia tidak diancam seperti dakwaan penganjur, Gerakan Pembela Ummah (Ummah).
“Siapa di sini yang merasakan Islam diancam? Saya orang Islam dan saya tak akan benarkan agama saya dihina. Adakah awak fikir kami dalam Pakatan Harapan akan benarkan ia berlaku?” kata ahli Parlimen Pagoh itu lagi.
“Saya bingung dengan dakwaan mereka dan saya rasakan ini tindakan provokasi. Negara kita aman dan kami selaku kerajaan akan sentiasa menjunjung perlembagaan yang melindungi Islam.”
Muhyiddin berkata “tiada bukti yang Islam diancam” dan Putrajaya malah cuba menyelamatkan institusi Islam dan Melayu seperti Tabung Haji dan Felda.
Jelasnya lagi, penganjur diberikan permit untuk mengadakan perarakan itu, tetapi memberi amaran yang Ummah perlu mematuhi semua peraturan termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman.
“Ikut undang-undang di bawah PAA. Jangan cuba cetuskan kebencian agama dan perarakan perlu aman,” kata Muhyiddin selepas hadir ke majlis serahan tugas bekas ketua polis negara Mohamd Fuzi Harun kepada Ketua Polis Negara baharu Abdul Hamid Bador.
Ummah adalah gabungan kumpulan Melayu Islam yang juga bertanggungjawab ke atas perarakan menentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) Disember lalu.
Semalam, Muhyiddin berkata kerajaan sedar wujud beberapa pihak cuba menggunakan perarakan esok untuk mencetuskan ketegangan dalam kalangan orang Islam.
Antara objektif perhimpunan itu adalah untuk menentang ancaman kedaulatan Islam dan Statut Rom, mencari keadilan untuk kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, menentang isu-isu bahasa seperti pengiktirafan kerajaan ke atas Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) serta cadangan pelaksanaan semula Bahasa Inggeris bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dan desakan meminta pemecatan Peguam Negara Tommy Thomas yang bukan beragama Islam.
PAS sudah mengarahkan ahli dan pemimpinnya menyertai perarakan itu.
Kekecohan “Islam terancam” dihangatkan lagi selepas kenyataan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa PH membuli orang Islam.
Kenyataan Asri itu dibidas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata mufti itu “pekak” kerana tidak mendengar perjuangan kerajaan PH mempertahankan kewibawaan Islam di negara ini. – 3 Mei, 2019.
Komen