Menjelang perhimpunan Ummah, kerajaan beri amaran


Ragananthini Vethasalam

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2019.

KERAJAAN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama, kata Menteri Dalam Negeri.

Muhyiddin Yassin berkata demikian menjelang perhimpunan yang dirancang Sabtu ini oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah), sebuah badan hak Melayu yang menyuarakan keresahan dan kebimbangan orang Melayu serta Islam. 

Muhyiddin berkata, ada pihak cuba mencetuskan konflik dengan menganjurkan acara yang berpotensi untuk memainkan sentiment] agama dan memprovok umat Islam.

Antara objektif perhimpunan itu adalah untuk menentang ancaman kedaulatan Islam dan Statut Rom, mencari keadilan untuk kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, menentang isu-isu bahasa seperti pengiktirafan kerajaan ke atas Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) serta cadangan pelaksanaan semula Bahasa Inggeris bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dan desakan meminta pemecatan Peguam Negara Tommy Thomas yang bukan beragama Islam.

PAS telah mengarahkan semua pemimpin dan ahlinya untuk hadir pada perhimpunan itu.

Pekeliling yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dikeluarkan kepada sayap parti dan semua jawatankuasa negeri di seluruh negara untuk menghadiri perhimpunan itu bagi mempertahankan kedaulatan Islam dan perlembagaan.

Muhyiddin memberi amaran bahawa kementerian tidak akan teragak-agak bertindak melalui polis terhadap mereka yang cuba menimbulkan masalah dengan menghasut sentimen perkauman.

“Kerajaan mempunyai sifar toleransi terhadap mereka yang cuba menimbulkan ketegangan dengan memainkan isu perkauman dan agama,” katanya.  

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh juga menolak tuduhan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak proaktif dalam mempertahankan Islam.  

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini mendakwa umat Islam sedang dibuli di bawah pemerintahan PH. – 2 Mei, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen