Polis tak terima IPCMC kerana salah faham, kata Muhyiddin


Ragananthini Vethasalam

Pentadbiran tertinggi polis sudah menghantar memo bantahan kepada Jabatan Perdana Menteri menentang cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2019.

POLIS enggan menerima idea penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana mereka tidak jelas akan peranan dan fungsinya, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin malam tadi.

“Misalnya, mereka (polis) berpendapat yang anggota polis akan jadi sasaran siasatan kesalahan dan kita mahu hukum mereka,” katanya dalam wawancara menjelang setahun pentadbiran Pakatan Harapan.

“Ini (tanggapan) tidak benar.”

Bagi membetulkan salah faham ini, Muhyiddin berkata beliau sudah meminta Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) Abu Kassim Mohamed untuk mengadakan taklimat tugas dan fungsi IPCMC kepada pasukan polis.

Bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia itu ditugaskan untuk membetulkan semua kekeliruan yang wujud dalam kalangan anggota polis.

Muhyiddin berkata sebaik sahaja isu ini diselesaikan, beliau akan berbincang tindakan seterusnya dengan Jemaah Menteri.

“Kami pasti wujud keperluan untuk IPCMC. Bagaimanapun, kita perlukan lebih banyak masa untuk berhubungan dengan anggota polis pelbagai pangkat.”

Semalam, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pegawai kanan polis menolak cadangan penubuhan suruhanjaya bebas yang bertanggungjawab ke atas displin anggota polis.

Fuzi yang bakal bersara daripada jawatan tertinggi pasukan keselamatan itu tidak lama lagi berkata, cadangan itu ditolak oleh pegawai polis yang masih berkhidmat dan sudah bersara dalam mesyuarat terbaru mereka.

Pasukan keselamatan itu juga sudah menghantar memo bantahan kepada Jabatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula dilaporkan berkata yang kerajaan akan mempertimbangkan pandangan awam sebelum membuat keputusan penubuhan badan bebas itu.

Katanya, ini kerana kerajaan sedar wujud perbezaan pendapat dalam isu itu. – 3 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen