Putrajaya akan kaji pendapat umum sebelum tubuh IPCMC, kata PM


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Putrajaya akan melihat pendapat orang ramai sebelum memutuskan sama ada mahu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang dicadangkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Mei, 2019.

PUTRAJAYA akan melihat pendapat orang ramai sebelum memutuskan sama ada mahu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang dicadangkan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan menyedari pandangan yang berbeza mengenai isu itu.

“Ada orang bersetuju dengannya dan ada yang menentangnya.

“Kita akan mengkaji pendapat orang ramai sebelum membuat keputusan,” katanya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu hari ini, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, pegawai kanan polis menolak cadangan supaya IPCMC bertanggungjawab terhadap isu disiplin membabitkan anggota polis.

Mohamad Fuzi Harun berkata cadangan itu ditolak oleh polis yang masih bertugas dan pesara polis pada satu mesyuarat baru-baru ini.

Polis mendaftarkan bantahan mereka menerusi satu memo kepada Pejabat Perdana Menteri.

Fuzi berkata dalam mesyuarat itu turut diputuskan bahawa jawatankuasa itu akan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri untuk membincangkan perkara itu lebih lanjut.

Pada Mei 2018, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam proses menubuhkan suruhanjaya itu bagi memenuhi janji yang dibuat oleh PH dalam manifesto pilihan raya.

Pada Mac, Fuzi berkata pasukan petugas dalam pasukan polis ditubuhkan untuk mengumpul maklum balas mengenai IPCMC.  – 2 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen