SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini meneruskan siasatan mereka terhadap dakwaan rasuah di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melibatkan RM500 juta dengan memanggil pegawai tertinggi suruhanjaya itu untuk disoal siasat.
Sumber SPRM berkata, pegawainya mengambil keterangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif SSM Zahrah Abdul Wahab Fenner hari ini di ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 11 pagi dan dibebaskan selepas beberapa jam.
Ketika dihubungi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Azam Baki mengesahkan perkara itu.
“Zahrah dipanggil ke SPRM untuk membantu siasatan kami,” katanya.
Setakat ini lebih 10 serbuan dilakukan SPRM di pelbagai lokasi.
Para penyelidik menyiasat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan kebocoran kontrak termasuk rundingan terus yang didakwa mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan orang ramai.
Dalam siasatan bermula 9 Januari lalu, SPRM menyoal siasat beberapa pegawai kanan SSM dan anak saudara pegawai berkenaan.
Siasatan itu dipercayai berpusat pada seorang anak pegawai kanan yang dipercayai menerima lebih RM1 juta dalam skandal berkenaan.
SPRM juga mendapati beberapa bekas pesuruhjaya daripada SSM juga mempunyai kaitan kes berkenaan dan sedang disiasat.
Pada awal Januari, sebuah kumpulan masyarakat sivil menyerahkan memorandum kepada SPRM yang menyenaraikan kes salah laku, penyalahgunaan kuasa dan rasuah di agensi kerajaan dalam melaksanakan projek berimpak tinggi.
Memorandum mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat sama.
Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat pada November 2018. – 2 Mei, 2019.
Komen