JEJAK kes rasuah melibatkan pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membawa penyiasat ke sebuah bengkel kereta dan tiga syarikat teknologi maklumat.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata bengkel di Ampang yang diserbu hari ini disyaki menjadi pusat “pembersihan” wang haram dalam kes tersebut.
“Bengkel ini dipercayai milik anak saudara kepada pegawai kanan itu dan ia beroperasi untuk menghalalkan wang haram anak pegawai kanan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tiga syarikat teknologi maklumat yang terletak di sekitar Lembah Kelang pula diserbu semalam, katanya.
Usaha berkenaan berkaitan skandal kontrak sebuah projek bernilai RM500 juta yang diberikan secara terus kepada sebuah syarikat milik anak seorang pegawai kanan SSM, kata sumber.
Beliau dipercayai terlibat dalam penyelewengan kontrak suruhanjaya itu sejak ahli keluarganya dilantik memegang jawatan tinggi di SSM beberapa tahun lalu.
Berdasarkan maklumat setakat ini, penyiasat percaya anak kepada pegawai kanan SSM itu berjaya mengaut keuntungan lebih RM1 juta hasil skandal berkenaan.
Penyiasat juga mengenalpasti beberapa nama baru muncul dalam senarai siasatan termasuk pegawai tertinggi yang sudah menamatkan perkhidmatan dengan suruhanjaya itu.
“Ada banyak isu berbangkit yang timbul selepas siasatan dimulakan. Kami memerlukan masa untuk melengkapkan semua siasatan sebelum tindakan diambil secara serentak ke atas semua yang terbabit.
“Tidak kira yang sudah pencen atau masih berkhidmat, sekiranya terbabit dalam unsur penyelewengan dan rasuah, pasti kami siasat,” kata sumber yang maklum tentang perkembangan siasatan kepada The Malaysian Insight.
Sejak empat minggu lalu, SPRM berusaha membongkar salah guna kuasa berhubung penganugerahan kontrak projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia kepada sebuah syarikat tanpa melalui proses tender terbuka.
Projek berkenaan dikatakan diberi melalui kontrak secara rundingan terus bagi tempoh lima tahun, dan lanjutan mandatori untuk lima tahun apabila tamat, yang akan menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan.
Hasil siasatan dan serbuan berterusan SPRM, agensi anti rasuah itu difahamkan menemui beberapa bahan bukti baru yang membolehkannya menyiasat SSM atas beberapa kes lain.
Bahan bukti itu diperolehi daripada lebih 90 kotak dokumen yang dirampas hasil serbuan SPRM ke atas 10 premis dikaitkan dengan projek SSM dalam siasatan sejak 9 Januari lalu , kata sumber.
The Malaysian Insight difahamkan SPRM turut menyiasat pemberian beberapa projek lain SSM yang juga tanpa melalui tender terbuka sejak 2009.
SPRM juga menyiasat perolehan dan pembelian beberapa bangunan pejabat SSM di serata negara antaranya di Melaka, Sarawak dan Perak yang keseluruhannya bernilai lebih RM94 juta.
Sumber SSM pula memberitahu penyelewengan yang sedang disiasat agensi anti rasuah itu melibatkan beberapa pegawai pengurusan tertingginya.
Lantikan pegawai berkenaan sebelum ini dikaitkan dengan kronisme dan nepotisme dan bukannya kerana prestasi kerja, kata sumber.
SPRM pada 9 Januari lalu menyerbu ibu pejabat SSM di Kuala Lumpur dan kemudian ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya.
Selain SSM dan SKMM, premis lain yang diserbu ialah empat buat syarikat termasuk firma perakaunan di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis.
SPRM juga menyerbu sebuah gudang di Semenyih dan rumah anak pegawai kanan SSM di Bandar Tasik Selatan, di Sungai Besi, Selangor.
Dua minggu lalu, SPRM memanggil lelaki dalam lingkungan umur 20-an itu untuk diambil keterangan di ibu pejabatnya di Putrajaya.
The Malaysian Insight juga difahamkan SPRM sedang menyiasat seorang lagi anak pegawai kanan SSM yang lain, berhubung kes yang sama.
Serbuan SPRM ke atas SSM dibuat susulan gesaan satu memorandum sebuah pertubuhan masyarakat yang menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.
Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM.
Bung Moktar ketika itu mendakwa SSM memberikan projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia secara langsung kepada satu syarikat tanpa melalui tender terbuka. – 9 Februari, 2019
Komen