ORANG Melayu dan Islam masih juga tidak selesa dengan kerajaan walaupun Putrajaya sudah buat pengumuman akan tarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa, kata sebuah badan hak Melayu, Gerakan Pembela Ummah (Ummah).
Atas alasan itulah Ummah menganjurkan satu lagi perhimpunan besar-besaran Sabtu ini untuk menyuarakan keresahan dan kebimbangan orang Melayu dan Islam, kata ketua sekretariatnya Aminuddin Yahaya.
Katanya, masih ada beberapa lagi keputusan Putrajaya yang membuatkan orang Melayu dan Islam rasa tertekan kerana nampak kerajaan meminggirkan kepentingan Melayu dan Islam.
Ini termasuk soal pengiktirafan ke atas Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan cadangan pelaksanaan semula Bahasa Inggeris bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), jelasnya.
“Rakyat dengan lebih kuat lagi akan menyatakan kepada kerajaan bahawa tindakan mereka selama tidak memihak kepada Islam dan Melayu, nampak semakin terpinggir.
“Cadangan kerajaan untuk iktiraf UEC dan laksana PPSMI akan merosakkan bahasa dan hubungan kaum.
“Sebagai majoriti kaum, sekarang ini orang Melayu rasa terpingir. Baik segi ekonominya dan sosialnya tidak nampakkan kerajaan serius untuk membangunkan Islam dan Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Aminuddin, walaupun Putrajaya sudah mengumumkan tidak akan meratifikasi Statut Rom, pihaknya bimbang pengumuman itu hanya sandiwara.
“Ia masih bukan keputusan muktamad. Ada masa sampai Jun ini (untuk tarik balik),” katanya.

Beliau juga merujuk forum pada Sabtu lalu yang mempertahankan penyertaan Malaysia dalam Statut, yang turut dihadiri Peguam Negara Tommy Thomas.
“Jadi kita bimbang ia hanya sebagai sandirwara untuk melemahkan rakyat supaya rakyat tidak membantah,” tambahnya.
Forum anjuran beberapa pertubuhan masyarakat itu kini dalam siasatan polis selepas sekurang-kurangnya dua badan hak Melayu-Islam membuat laporan polis mendakwa ahli panelnya cuba menanam kebencian terhadap Raja-Raja Melayu.
Sebulan selepas menandatangani Statut Rom, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 5 April mengumumkan Malaysia akan tarik diri kerana kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam masyarakat.
Surat cara penerimaan Statut Rom yang ditandatangani dan diserahkan kepada setiausaha agung Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 4 Mac lalu boleh ditarik balik sebelum Jun, katanya.
Beliau juga menegaskan penarikan diri Malaysia itu bukan kerana pembentukan mahkamah antarabangsa itu membahayakan negara.
Ummah menamakan perhimpunan Sabtu ini sebagai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam. Ia dijadual bermula dari Masjid Jamek Kuala Lumpur di Jalan Tun Perak ke Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, antara 2 hingga 6 petang.
“Kita jemput semua Umno, PAS, Bersatu dan PKR yang merasakan isu ini isu bersama. Sama ada mereka datang atau tidak saya tak pasti,” katanya.
Poster perhimpunan itu mula tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Kita bukan nak bawa isu politik. Kita cuma nak suarakan apa-apa yang kita rasa tidak memihak kepada Islam dan Melayu,” tambah Aminuddin.
Beliau menjangkakan perhimpunan Sabtu ini akan disertai 20,000 orang.
Aminuddin juga yakin pihaknya akan dapat kerjasama dan bantuan pihak polis, sama seperti semasa perhimpunan membantah cadangan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Disember lalu.
Katanya, pihaknya akan berjumpa pihak polis di ibu pejabat daerah Dang Wangi petang ini untuk memaklumkan program perhimpunan.
“Kita jumpa polis petang ini untuk berbincang. Sebenarnya hubungan kita dengan polis sangat baik sebab terbukti wakti kita buat (himpunan) ICERD dulu, berjaya sehingga satu habuk (sampah) pun tiada. Jadi mereka percaya kepada kita,” kata Aminuddin. – 30 April, 2019
Komen