SELEPAS hampir 10 bulan menjadi speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof berkata penambahbaikan peraturan dalam Dewan masih dalam progres yang melibatkan perubahan budaya politik yang cenderung meletakkan parti terlebih dahulu dan bukannya kepentingan negara.
Prosiding Parlimen boleh menjadi begitu bersemangat tetapi isu ceramah sepatutnya tidak dibangkitkan dalam Dewan, kata Ariff kepada The Malaysian Insight.
“Jika mereka mahu bercakap mengenai isu ceramah, mereka boleh melakukannya di luar sehingga kucing bertanduk. Tetapi apabila anda berada dalam Dewan, anda perlu bersikap tertib, menggunakan peraturan yang ada.”
Bekas hakim Mahkamah Rayuan yang kini berusia 69 tahun itu dilantik sebagai speaker pada Julai tahun lepas berkata, anggota Parlimen Malaysia boleh bersikap “degil” dan kerap tidak mendengar kata speaker atau mematuhi arahannya.
Beliau berkata ini tidak mengikut tingkah laku ditetapkan dalam peraturan Parlimen yang menunjukkan perbezaan antara ahli Parlimen Malaysia dan United Kingdom (UK).
Tingkah laku memalukan itu dipamerkan ketika speaker Singapura melawat baru-baru ini dan menyebabkan Ariff kecewa.
Perang mulut berlaku selepas Noh Omar (Tanjong Karang-BN) enggan meninggalkan Dewan Rakyat walaupun dihalang masuk oleh Timbalan Speaker Nga Kor Ming kerana mengatakan beliau “tidak layak” menjadi timbalan speaker.
Dalam sesi berikutnya, Ariff terpaksa mengumumkan rehat selama 15 minit untuk memastikan Noh meninggalkan Dewan.
Ariff berkata ia mengecewakan untuk melihat ahli Parlimen yang berpengalaman merayu kepada Speaker Singapura Tan Chuan Jin yang melawat selepas keputusan itu ditegaskan.
“Anda tidak boleh mengatakan perkara seperti ‘Speaker Singapura berada di sini. Mari kita tanya apa yang difikirkannya’. Ini tidak baik.”
Bagaimanapun, Ariff memuji ahli Parlimen muda yang katanya menyokong penghujahan mereka dengan fakta dan angka.
Beliau juga percaya dalam memberi kebebasan kepada ahli Parlimen untuk membincangkan topik kepentingan negara dan inilah sebab mengapa beliau menarik larangan membahaskan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga kes itu dibicarakan.

Ariff menjelaskan mengapa, malah sebelum ini, akan ada beberapa topik yang tidak boleh dibincangkan di Parlimen, dengan menyatakan setiap negara mempunyai batasannya sendiri.
Beliau berkata juga perlu mempertimbangkan sama ada terdapat nilai dalam membincangkan isu tertentu, sebagai contoh, isu perkauman, kerana satu topik seperti itu boleh “menghapuskan semua usaha baik yang kita cuba lakukan”.
Ikuti wawancara penuh bersama beliau di sini. – 30 April, 2019.
Komen