Polis tahan pembantu Zakir Naik kerana hina agama Hindu


Alfian Z.M. Tahir

Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 35, ditahan oleh anggota polis dari unit jenayah berat (D9) Kangar kerana didakwa menghina agama Hindu. – Gambar YouTube, 28 April, 2019.

SEORANG pendakwah yang dikaitkan dengan Zakir Naik ditahan polis susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.

Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 35, ditahan oleh anggota polis dari unit jenayah berat (D9) Kangar di Arau kira-kira pukul 2 pagi tadi.

 Zamri disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana mengganggu keharmonian dan mengeluarkan kata-kata menghina.

Presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia itu juga mempunyai tiga rekod jenayah dan dua kesalahan jenayah berat.

Zamri sebelum ini ditahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah.

Pada Ogos 2017, Zamri pernah mencetuskan kontroversi apabila menyebabkan solat Jumaat di Masjid Kg Rawa, Pulau Pinang tidak sah kerana tertinggal rukun khutbah.
Beliau kemudian melalui satu kenyataan memohon maaf kepada jemaah atas kesilapan yang katanya berlaku kerana gugup pertama kali membaca khutbah.

Semalam, polis menerima 13 laporan daripada pelbagai pihak termasuk individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan.   

Laporan itu dibuat susulan penyebaran satu klip video berdurasi 1 minit 10 saat di laman sosial yang menunjukkan Zamri mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap agama Hindu dan didakwa menggugat keharmonian. – 28 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen