Polis terima 13 laporan lelaki hina agama Hindu


POLIS menerima 13 laporan berhubung tindakan seorang lelaki yang didakwa telah mengeluarkan beberapa kenyataan berunsur menghina agama Hindu sejak Selasa hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menerima laporan daripada pelbagai pihak termasuk individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan.   

“Menurut mereka, lelaki itu menerusi satu klip video berdurasi 1 minit 10 saat yang tular di laman sosial telah mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap agama Hindu dan mampu menggugat keharmonian,” katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata kes itu dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju kerana siasatan dijjalankan di sana dan kertas siasatan dibuka menurut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998.  

Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 37 tahun kerana terlibat dalam kegiatan curi bateri lori, di Jalan Baru Perai di Bukit Mertajam semalam.

Katanya polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu kira-kira pukul 5.20 pagi semalam menahan dua lelaki itu selepas mereka berada dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan menemui empat unit bateri lori dan dua alat pemotong.

“Siasatan mendapati dua lelaki itu terlibat dalam kegiatan curi bateri lori di sekitar kawasan Perai serta Bukit Mertajam dan mereka aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun ini,” katanya. 

Dua penganggur itu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan hasil kegiatan jenayah berkenaan.

“Mereka kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama, 27 April, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen