PEKERJA bebas yang kini jumlahnya mengatasi pekerja tradisional yang mendapat upah atau gaji tetap perlu menyimpan sehingga 20% hingga 30% daripada pendapatan mereka kalau mahu memastikan dana yang cukup pada hari tua, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selain menabung, mereka juga perlu memiliki insurans kesihatan kerana kos rawatan perubatan sudah melambung sejak 15 tahun lalu dan dijangka akan terus meningkat, tambah agensi keselamatan sosial itu.
Cadangan menabung dan membeli insurans timbul ketika jumlah pekerja sementara semakin bertambah tetapi pakar ekonomi melihat tidak banyak yang dilakukan untuk melindungi mereka berbanding pekerja tetap.
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata pekerja sementara selalu teraniaya tanpa perlindungan undang-undang daripada majikan yang mengambil kesempatan terhadap mereka.
Pekerja bebas juga perlu menyimpan lebih banyak untuk hari tua berbanding pekerja tradisional yang dipotong 11% daripada gaji mereka oleh KWSP selain ditokok sekurang-kurangnya 13% oleh majikan.
Atas perkembangan semasa ini, KWSP memberitahu The Malaysian Insight ia akan giat mempromosikan skim simpanan persaraan i-Saraan. Di bawah skim itu, kerajaan akan memberikan 15% atas baki simpanan atau tidak lebih RM250 setahun.
KWSP tahun lalu mengisytiharkan dividen 6.15% bagi simpanan konvensional dan 5.9% untuk simpanan syariah.

Pencarum i-Saraan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat percuma mengenai pelan persaraan daripada KWSP.
“Menyusun perbelanjaan bukannya senang malah lebih mencabar apabila pendapatan tidak menentu. Sisihkan 20% hingga 30% daripada pendapatan untuk simpanan, persaraan dan kecemasan.”
Menurut Kementerian Kesihatan dan data syarikat insurans, kos rawatan perubatan meningkat antara 10-15% setiap tahun, kata KWSP. Kos itu juga meningkat lebih sekali ganda dalam masa 15 tahun.
Walaupun KWSP berusaha keras memperkenalkan i-Saraan sejak 2010, skim itu hanya mengumpulkan 189,473 pencarum setakat 2018.
Dana itu menganggarkan ada lebih 13 juta pekerja yang diistilahkan sebagai bekerja sendiri, termasuk pekerja bebas.
Menurut KWSP, kadar simpanan rendah golongan ini mungkin kerana kos sara hidup yang tinggi dan beban hutang.
Di Malaysia, bekerja bebas menjadi tarikan bagi golongan muda, berdasarkan satu kaji selidik firma perkhidmatan perekrutan, The Addison Group.
Hampir 66% golongan millenial (yang lahir antara pertengahan 1980-an hingga akhir 1990-an) sedia bekerja sendiri, berbanding 59% golongan Generasi X (lahir pertengahan 1960-an hingga awal 1980-an) dan 44% kelompok yang lahir selepas Perang Dunia Kedua hingga awal 1960-an.

“Gig economy (ekonomi pekerjaan sambilan) diunjurkan bernilai lebih kurang AS$63 bilion menjelang 2020, menurut kajian Price Water House Cooper,” kata KWSP.
Mereka ini termasuk yang berniaga kecil-kecilan dalam sektor makanan, bertani serta memandu teksi dan lori. Selebihnya, pemandu perkhidmatan kongsi kereta atau e-hailing, penghantar makanan serta pekerja bebas dalam industri hiburan dan iklan, serta yang bekerja sambilan dalam bidang perakaunan, perkomputeran dan media.
Laporan KWSP pada 2017 menyebut lebih 22 juta penduduk Malaysia adalah pekerja tetapi hanya 6.8 juta pencarum aktif dana itu sementara 1.7 juta adalah kakitangan awam yang mempunyai skim pencen.
Baki 13.7 juta pekerja termasuk mereka bekerja sendiri atau pekerja bebas tidak dilindungi oleh KWSP atau mana-mana program keselamatan sosial yang lain. – 28 April, 2019.
Komen