DALAM tempoh lima tahun, pekerja bebas akan menjadi perkara biasa dan mungkin lebih ramai berbanding mereka yang mempunyai pekerjaan tetap di kebanyakan syarikat, kata kumpulan majikan, ketika perniagaan melihat untuk mengurangkan kos dan operasi lebih rendah.
Selain itu, lebih ramai majikan di Malaysia menawarkan kontrak jangka pendek tiga hingga enam bulan kepada graduan baharu untuk mengurangkan kos, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan.
“Majikan semakin selektif siapa yang hendak diambil untuk jawatan tetap kerana mereka tidak mahu tersekat dengan orang yang tidak boleh bekerja dengan baik. Pada masa sama, mereka mahu mengurangkan kos kakitangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tetapi walaupun trend itu memberi manfaat kepada majikan, ia memberi risiko jangka panjang kepada ekonomi dan sosial, kata pakar ekonomi Dr Yeah Kim Leng.
Pekerja bebas dan pekerja dalam “ekonomi gig” biasanya kebajikan mereka tidak dilindungi seperti rawatan perubatan dan jika berlaku kecederaan. Mereka juga terpaksa mengumpul duit untuk hari tua, kerana tidak seperti pekerja tetap, pelanggan mereka tidak perlu menyumbang kepada simpanan persaraan.
Pertumbuhan pekerja jenis ini sudah pun mengurangkan sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Skim simpanan persaraan mandatori bagi pekerja sektor swasta itu baru-baru ini berkata jumlah perlindungan untuk pekerja di Malaysia turun 40% tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata pengurangan pencarum dana itu mungkin disebabkan lebih ramai pekerja memasuki sektor tidak rasmi, iaitu termasuk pekerjaan berdasarkan kepada “gig” iaitu kontrak dan kerja bebas.
Bila pekerja bebas tidak menyimpan, mereka tidak akan mempunyai wang yang cukup untuk menyara diri sendiri pada usia tua, dan keadaan itu bakal menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk bantuan kebajikan, kata Yeah.
“Ada keperluan untuk mengkaji skim ala KWSP dan perlindungan sosial untuk pekerja bebas.
“Ini kerana anda tidak mahu ekonomi terdedah kepada satu kumpulan besar yang pekerjaan tidak menentu atau warga emas yang tidak cukup duit untuk meneruskan hidup.” – 10 April, 2019.
Berita penuh di sini.

Komen