Tertuduh kes bunuh pembantu rumah dibebas ikut undang-undang, kata peguam


Ragananthini Vethasalam

M.A.S Ambika (baju biru, tengah) dibebaskan dari tuduhan mengikut undang-undang, kata peguamnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2019.

TIADA apa yang mencurigakan dengan pembebasan wanita berusia 61 tahun yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia, kata peguam tertuduh.

Anbananthan Yathiraju memberitahu The Malaysian Insight, M.A.S Ambika dibebaskan dari tuduhan mengikut undang-undang.

Ambika ditahan dan didakwa membunuh. Bagaimanapun, baru-baru ini dia dibebaskan dari tuduhan selepas pendakwa memutuskan untuk tidak meneruskan kes.

Ini mencetuskan bantahan dari kumpulan Tenaganita dan pihak berkuasa Indonesia yang menuntut penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara. 

Tenaganita juga memulakan petisyen dalam talian di change.org bagi menuntut keadilan buat pembantu rumah malang itu, Adelina Lisao yang berusia 28 tahun.

Anbananthan memberitahu The Malaysian Insight, tiga saksi - pakar forensik, pengadu yang membuat laporan polis dan wartawan yang diberitahu oleh jiran tertuduh - telah dipanggil untuk beri keterangan.

“Sebelum perbicaraan dimulakan, peguam bela memohon timbalan pendakwa raya (DPP) untuk menimbang semula dakwaan selepas melihat dokumen yang diterima dari pendakwa.

“Dalam nota kes hospital, disebutkan bahawa sebelum meninggal dunia, mangsa memberitahu kakitangan perubatan yang dia tidak didera dan menggunakan bahan kimia ketika membersihkan tandas,” kata Anbananthan.

Peguam itu juga berkata laporan bedah siasat menunjukkan bahawa Adelina meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ. – 23 April, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen