Tenaganita mulakan petisyen tuntut keadilan untuk pembantu rumah didera


Looi Sue-Chern

Tenaganita menuntut agar Jabatan Peguam Negara menerangkan kepada orang ramai mengapa pihak pendakwa menggugurkan kes majikan Adelina Lisao dan apa yang berlaku semasa prosiding mahkamah sehingga membawa kepada keputusan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2019.

KUMPULAN hak pekerja pendatang Tenaganita memulakan petisyen dalam talian di change.org bagi menuntut keadilan terhadap pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Lisao, yang didakwa didera oleh majikannya.

Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada Februari tahun lalu selepas didakwa mengalami penderaan fizikal dan emosi semasa bekerja secara tidak sah sebagai pembantu rumah.

Majikannya M.A.S. Ambika ditangkap dan didakwa membunuh tetapi dibebaskan awal bulan ini selepas pihak pendakwa memutuskan untuk tidak meneruskan kes itu.

Tenaganita menuntut agar Jabatan Peguam Negara menerangkan kepada orang ramai mengapa pihak pendakwaan menggugurkan kes itu, dan apa yang berlaku semasa prosiding mahkamah sehingga membawa kepada keputusan itu.

Kumpulan wanita itu juga menuntut agar Jabatan Peguam Negara menggunakan semua saluran undang-undang yang boleh untuk memastikan keadilan untuk Adelina.
Mereka juga menggesa rang undang-undang untuk pekerja domestik dibentang, dibahas dan diluluskan di Parlimen secepat mungkin.

Tenaganita berkata petisyen itu dimulakan untuk menangani tahap “penyeksaan dan keganasan di rumah dan di kawasan kejiranan kita”, “kegagalan sistem keadilan kita” dan “ketidakgiatan pegawai dilantik” yang tidak boleh diterima.

“Kami menandatangani petisyen ini kerana kami mahu tindakan menyeluruh untuk menghentikan keganasan terhadap pekerja domestik di Malaysia.

“Harus ada keadilan untuk Adelina, dan harus ada keadilan sekarang,” menurut petisyen itu.

Petisyen, yang disiarkan semalam dan ditujukan kepada Peguam Negara Tommy Thomas; Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran dan setiausaha politiknya, Cheong Chee Khing; dan Menteri Hal Ehwal Undang-undang, Liew Vui Keong, sudah menerima lebih 9,000 tandatangan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata dalam satu kenyataan minggu lalu yang peguam negara akan menyiasat mengapa pertuduhan terhadap Ambika digugurkan.

Timbalan belia dan menteri sukan berkata beliau sudah menghubungi Thomas mengenai perkara itu, dan menjawab akan menyiasat secara peribadi untuk melihat tindakan selanjutnya.

Pembantu Sim membuat laporan polis pada Februari tahun lalu selepas pejabat ahli Parlimen diberitahu mengenai penderaan yang dialami Adelina.

Imej pengawasan video menunjukkan Adeline dipaksa tidur di bawah teras depan rumah majikannya bersama anjing peliharaan keluarga menjadi tular, mencetuskan gesaan daripada kumpulan hak asasi manusia agar kerajaan menguatkuasakan langkah untuk melindungi pekerja rumah tangga.

Adeline mempunyai kesan lebam di tubuhnya apabila diselamatkan dan dibawa ke hospital pada 10 Februari tahun lepas tetapi meninggal dunia akibat pelbagai kegagalan organ pada hari berikutnya. – 23 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen