SEJUMLAH 11 rang undang-undang (RUU) diluluskan dalam mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 2017 Dewan Rakyat yang berakhir Khamis lalu.
Antara RUU utama yang diluluskan ialah Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.
Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 bermatlamat untuk melindungi kanak-kanak 18 tahun ke bawah daripada jenayah seksual yang selaras dengan Akta Kanak-kanak 2001.
Mengikut akta itu, individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan seksual secara fizikal terhadap kanak-kanak boleh dipenjarakan sehingga 20 tahu dan boleh dihukum sebat.
Akta itu juga menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana individu yang didapati membuat, memiliki dan mengedarkan pornografi kanak-kanak di mana jika disabitkan, boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan 6 kali rotan.
Akta itu juga boleh mengenakan tindakan terhadap mana-mana individu yang memegang maklumat mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan boleh didenda sehingga RM5,000.
Bagaimanapun, RUU itu hangat dibahaskan apabila majoriti mengundi menolak cadangan pembangkang untuk memasukkan larangan terhadap perkahwinan kanak-kanak.
Persidangan Dewan Rakyat pertama tahun ini akan turut diingati kerana mengadakan sesi paling panjang dengan perbahasan dijalankan selama 20 jam dan pembentangan RUU persendirian.
Pada hari terakhir sesi itu, Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang (PAS) dibenarkan untuk membentangkan RUU persendirian.
Bagaimanapun, usul itu tidak dibahaskan berikutan Speaker Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan selepas Ahli Parlimen Kota Baru Takiyuddin Hassan (PAS) menyokong usul presidennya itu.
Usul itu tidak dibahaskan dan tidak diundi dan ia akan dibentangkan semula pada persidangan akan datang.
RUU lain yang diluluskan pada mesyuarat itu ialah RUU Timbang dan Sukat (Pindaan), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan), Perdagangan Strategik (Pindaan), Saraan Hakim (Pindaan), Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan), Kanun Keseksaan (Pindaan), Cukai Pelancongan, Kebankrapan (Pindaan), Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) dan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Bagaimanapun, RUU Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 tidak dibentangkan selepas kerajaan memutuskan menggugurkan pindaan itu pada malam sebelum sesi terakhir Dewan Rakyat.
RUU itu yang akan melarang pertukaran agama anak secara sebelah pihak dibentangkan bagi Bacaan Pertama pada November lalu.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dalam laporan Star Online berkata keputusan menangguhkan perbahasan terhadap RUU itu bertujuan untuk “mengkaji cadangan pindaan bersama pakar agama”.
“Ia bagi memastikan pindaan itu tidak akan bertentangan dengan fatwa Islam atau Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Persidangan pertama Dewan Rakyat tahun ini juga memperkenalkan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 yang membolehkan perkhidmatan teksi e-hailing.
Walaupun masih belum diluluskan, kedua-dua RUU itu selesai Bacaan Pertama. Antara pindaannya ialah mengklasifikasikan semula kenderaan e-hailing sebagai kenderaan perkhidmatan awam dan memperoleh lesen perniagaan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).
Pemandu yang tidak mendapatkan lesen boleh didenda sehingga RM500,000 atau berdepan penjara maksimum 3 tahun.
Persidangan Dewan Rakyat akan datang dijadualkan pada 24 Julai hingga 10 Ogos. – 10 April, 2017.
Komen