Hadi bentang RUU355, nafi untuk laksana hudud


The Malaysian Insight

Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang menegaskan bukan Islam tidak mempunyai hak menolak inisiatif untuk menambah baik hal ehwal Islam bagi umat Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight,6 April, 2017.

AHLI Parlimen Marang Abdul Hadi Awang hari ini membentangkan rang undang-undang kontroversi, RUU355 dan menegaskan ia bukan “pintu belakang” untuk melaksanakan hudud di Malaysia.

Presiden PAS itu mengecam bukan Islam, berkata mereka tidak mempunyai hak menolak inisiatif untuk menambah baik hal ehwal Islam bagi umat Islam.

Beliau berkata rang undang-undang itu bukan untuk mewujudkan undang-undang baru, sebagaimana dikatakan pengkritik beliau, sebaliknya untuk meminda undang-undang mengenai had hukuman bagi kesalahan syariah.

Hadi memohon meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 melalui rang undang-undang persendirian, bagi meningkatkan hukuman bagi kesalahan syariah.

Beliau berkata sejak undang-undang syariah negeri dikuatkuasakan (di Kelantan dan Terengganu), tiada bukan Islam ditangkap atau didakwa di bawahnya. Oleh itu, mereka tidak perlu bimbang, katanya.

Hadi berkata terdapat perlindungan bagi bukan Islam, sambil menambah, al-Quran juga mengatakan bukan Islam boleh memilih untuk dibicarakan di mahkamah mereka sendiri.

Menyelar mereka yang menentang rang undang-undang itu, Hadi berkata ia seolah-olah mereka tidak tentu arah, dan membangkitkan rasa takut di kalangan rakyat.

Terdahulu, sebelum Hadi diberikan kebenaran membentangkan rang undang-undang itu, perbalahan tercetus apabila beberapa ahli Parlimen DAP mempersoalkan tindakan Speaker Pandikar Amin Mulia “mempercepatkan” rang undang-undang Hadi, apabila usul sebelum ini ditolak ke belakang.

Pandikar berhujah dengan Lim Kit Siang (Gelang Patah-DAP) dan Lee Boon Chye (Gopeng-PKR), menegaskan beliau tidak bersikap berat sebelah kepada sesiapa.

Perbahasan rang undang-undang itu akan disambung semula pada jam 2.30 petang dan pengundian dijangka pada 5 petang.

The Malaysian Insight akan membuat liputan langsung prosiding ini:

4.00pm: Pandikar mengumumkan perdebatan ditangguhkan, menyebabkan ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpeluang bersuara petang ini terkejut. Seseorang menjerit: “Tan Sri, anda begitu tidak adil. Anda tidak memaklumkannya lebih awal. Anda buat kami terkejut…”

Laungan “bodoh”, “takut”, “kuasa disalahgunakan” kedengaran semasa Pandikar meninggalkan Dewan.

3.55pm: Takiyuddin menyelesaikan ucapannya, menyuarakan sokongan terhadap RUU355.

Pandikar berkata beliau menjadi speaker selama sembilan tahun, dan gembira hari ini kerana mempunyai kuasa penuh menjalankan sesi tanpa sekatan.

Beliau berkata memahami RUU355 dengan jelas selepas mendengar ucapan Hadi dan Takiyuddin.

3.50pm: Takiyuddin berkata, ia tidak mengapa jika negeri lain, seperti Pulau Pinang dan Sarawak, memutuskan untuk tidak menerima pakai pindaan.

Beliau juga memberi respons kepada soalan ahli Parlimen lain mengenai sama ada Malaysia mempunyai kepakaran menjalankan hukuman lebih ketat, dan jika rang undang-undang bercanggah dengan Perkara 8 dalam Perlembagaan, yang menyatakan semua sama di mata undang-undang.

Beliau berkata kepercayaan tidak boleh dibandingkan kerana umat Islam mesti mengikut undang-undang Islam dan tidak boleh menolaknya, seperti berpuasa pada bulan Ramadan. Beliau berkata ia adalah “positive discrimination” terhadap umat Islam.

3.40pm: Khoo Soo Seang (Tebrau-BN) memberitahu Takiyuddin sebelum ini, ahli Parlimen bukan Islam tidak membantah terhadap RUU355 dan pindaannya sebelum ini kerana tiada perbincangan untuk melaksanakan hudud.

Beliau berkata, kini ada persoalan mengenainya dengan banyak andaian ia tidak berperlembagaan. Beliau berkata, bukan Islam tidak menentang tetapi hukuman penjara yang dicadangkan itu terlalu tinggi.

3.20pm: Ahmad Nazlan Idris (Jerantut-BN) berkata, beliau gagal melihat bagaimana RUU355 menjadi ancaman kepada sesiapa atau punca sesetengah pihak takut dan menentangnya. Katanya, beliau tidak faham mengapa bukan Islam takut kepada rang undang-undang yang tidak mengancam agama mereka.

Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai-BN) berkata, dahulu terdapat keharmonian yang kukuh di kalangan rakyat dan mengatakan bukan Islam juga menghargai banyak prinsip Islam seperti perbankan Islam.

Malah, berkhatan juga menjadi popular di kalangan bukan Islam dan banyak melakukannya ke atas bukan Islam, atas sebab kebersihan.

3.30pm: Selepas beberapa pro-RUU355 berucap menyokong, Khalid Samad (Sepang-Amanah) bertanya berapa lama ucapan Takiyuddin akan berlangsung. Beliau berkata, ia seolah-olah menjadi hari PAS dalam Dewan. Pandikar memberitahu Takiyuddin meneruskannya.

3.15pm: Nasrudin berkata sepatutnya tiada bantahan terhadap rang undang-undang itu dan cadangan pindaan berasal daripada al-Quran, seperti 100 sebatan.

“Kita orang Islam mahu melaksanakannya, tetapi tiba-tiba orang lain mahu menghalang kita.

“Islam adalah agama persekutuan, manakala yang lain bebas mengamalkan kepercayaan mereka sendiri,” katanya.

Hasan Arifin (Rompin-BN) berkata beliau bimbang bantahan terhadap RUU355 boleh dieksploitasi pelampau untuk merosakkan kestabilan negara.

Beliau berkata, malah British mempunyai kebijaksanaan membenarkan undang-undang Syariah di negara ini.

“Saya bimbang pelampau akan mengambil kesempatan daripada keadaan ini jika rang undang-undang ini dihalang,” katanya.

3.10pm: Takiyuddin membawa Dewan mengimbas ke tahun 1984, ketika RUU355 dipinda. Beliau berkata, ahli Parlimen bukan Islam, termasuk Lim Kit Siang (Gelang Patah-DAP) dan Pengerusi DAP Karpal Singh, tidak menahan pindaan itu.

Ahli Parlimen Sabah Bung Mokhtar (Kinabatangan-BN) berkata mungkin ada salah faham mengenai rang undang-undang.

Takiyuddin mengakui ada yang tidak faham, tetapi ada juga di kalangan mereka yang sengaja tidak ingin memahaminya.

3.00pm: Takiyuddin berkata, ramai ahli Parlimen bukan Islam di Dewan Rakyat pada 1965 apabila RUU355 asal diluluskan tanpa perbahasan. Beliau memuji ahli Parlimen, termasuk mendiang Lee Kuan Yew (Singapura) dan Dr Lim Chong Eu (Pulau Pinang).

Mohamed Hanipa Maidin (Sepang-Amanah) menyampuk, mengatakan pada masa itu, rang undang-undang berkenaan dibentangkan kerajaan.

“Sepatutnya kerajaan membentangkannya. Mengapa sekarang PAS yang perlu melakukannya? Adakah ia sudah diperkenankan Raja-raja pada masa itu?” Hanipa bertanya.

Takiyuddin berkata kerajaan tidak membawanya kepada pihak Raja-raja. Beliau juga mempertahankan pembentangan ini oleh PAS.

Beliau berkata, ia adalah jelas mana-mana Ahli Parlimen boleh mengemukakan rang undang-undang persendirian, sebagaimana diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

2.55pm: Nasruddin Hassan (Temerloh-PAS) berkata tidak ada sebab untuk berasa curiga dengan rang undang-undang itu.

2.45pm: Takiyuddin menyebut rekod sejarah undang-undang Islam di Tanah Melayu. Antaranya, bagaimana dua hakim British mengiktiraf undang-undang Islam di Selangor, walaupun sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Seperti Hadi, Takiyuddin juga menegaskan undang-undang Islam tidak terpakai kepada bukan Islam.

Beliau berkata bidang kuasa Mahkamah Syariah “ditentukan oleh Perlembagaan persekutuan dan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dibuat oleh Dewan Rakyat bagi membuat keputusan mengenai kesalahan jenayah, bukan kesalahan sivil.

Tiada sebab mempersoalkan atau berasa takut terhadap RUU355, seolah-olah ia hantu, katanya.

2.30pm: Ahli Parlimen dari Kelantan, Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PAS) menyambung semula membahaskan RUU355 selepas ahli Parlimen selesai makan tengah hari.

Beliau menyokong rang undang-undang dan meminta rakan dalam Dewan Rakyat membincangkannya dengan matang dan rasional, kerana ramai yang menonton.

Katanya, beliau dengan rendah diri meminta masyarakat, yang sebelum ini membuat penghakiman awal pindaan itu, menunggu penjelasan mengenainya.

Beliau memetik kenyataan akhbar bersama baru-baru ini oleh masyarakat sivil, melibatkan 60 NGO, yang menggesa ahli Parlimen mengundi menentang RUU355.

“Saya rasa ia bagus banyak NGO bimbang dengan hal ini, tetapi lebih baik jika semua rakan menunggu penjelasan mengenai isu ini terlebih dahulu.

“Sebagai umat Islam, kita diajar oleh al-Quran untuk berfikiran terbuka apabila berbincang,” katanya.

1.00pm: Hadi mengakhiri ucapannya, meminta sokongan di Dewan Rakyat. Pandikar mengumumkan Dewan ditangguhkan untuk makan tengah hari.

Perbahasan rang undang-undang itu akan disambung semula dari jam 2.30 petang.

12.50pm: Hadi menafikan rang undang-undang itu sebagai jalan pintu belakang untuk melaksanakan hudud di Malaysia.

12:45pm : Hadi berkata Mahkamah Syariah mempunyai kuasa yang terhad, walaupun Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Beliau berkata pindaan itu hanya untuk meningkatkan penalti maksimum.

Terdapat kebebasan beragama di Malaysia dan beliau mempersoalkan mengapa umat Islam di negara ini tidak boleh mengamalkan agama mereka sepenuhnya.

12.40pm: Hadi berkata rang undang-undang itu bukan bertujuan mewujudkan undang-undang baru sebagaimana dikatakan ramai pengkritik tetapi untuk meminda mengenai had hukuman bagi kesalahan Syariah.

Had sedia ada menetapkan penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Beliau berkata sejak Undang-Undang Syariah negeri dikuatkuasakan, tiada bukan Islam ditangkap atau didakwa di bawahnya. Mereka tidak perlu bimbang, kata Hadi.

12.38pm: Hadi akhirnya mendapat kebenaran membacakan rang undang-undang selepas semua jeritan senyap.

12.36pm: Lim bangun. Pandikar memberitahu beliau berulang kali agar duduk atau akan diarahkan keluar. Pandikar yang semakin jengkil berkata agar semua hal politik tidak dibawa masuk ke dalam Parlimen.

Beliau memberikan kebenaran kepada Hadi berdiri dan memberi amaran sesiapa yang mengganggu akan dihalau keluar daripada Dewan.

12.34pm: Pandikar akhir bertindak tegas dan memberi keizinan kepada Hadi.

Tetapi ahli Parlimen Gelang Patah bangun untuk mengganggu lagi. Pandikar cuba meminta beliau duduk.

Jeritan arahan menyuruh Lim duduk kedengaran. Beberapa orang menuduh Lim sebagai “orang gila tua”. Huru-hara tercetus.

12.32pm: Ahli Parlimen gelisah dengan hujah antara speaker, ahli Parlimen Kota Baru dan Puchong sama ada usul itu boleh dibaca. Ejekan “boo” kedengaran. Pandikar memberitahu semua bertenang.

Jeritan didengari dari kedua-dua bahagian Dewan.

12.52pm: Hadi menegaskan bukan Islam tidak mempunyai hak menolak inisiatif penambahbaikkan hal ehwal Islam bagi umat Islam dan tidak perlu membuat pengorbanan peribadi.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mendapat manfaat daripada pindaan kerana ketua agama di semua negeri mempunyai kuasa membuat keputusan sama ada untuk meningkatkan penalti maksimum.

Beliau berkata Mahkamah Syariah hanya terhad kepada kawasan yang disebut dalam senarai negeri. Hadi berkata, jika seorang Islam merogol bukan Islam, jenayah itu akan dihukum di bawah kanun keseksaan.

Beliau berkata konsep hukuman dalam Islam berbeza, sebat tidak boleh melukakan kulit malah semasa melakukan sebatan, ia tidak boleh melepasi paras kepala seseorang.

Beliau berkata terdapat perlindungan kepada bukan Islam, dan juga al-Quran berkata mereka boleh memilih menjadi hakim dalam mahkamah mereka sendiri.

Menempelak pihak menentang rang undang-undang itu, katanya, mereka seolah-olah hilang arah, dan menimbulkan rasa takut di kalangan rakyat.

12.27pm: Gobind bangun dan berhujah walaupun Parlimen mempunyai kuasa menentukan prosidingnya sendiri tanpa mengira saman undang-undang atau kes terhadapnya, perkara sama tidak dilakukan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gobind mendakwa speaker menghentikan semua perbahasan 1MDB disebabkan kes itu sedang berlangsung di mahkamah.

12.33pm: Pandikar membaca daripada buku peraturan Parlimen daripada Parlimen India berhubung persoalan injunksi terhadap Parlimen untuk menghalang usul daripada dibentangkan. Buku peraturan itu mengatakan mahkamah tidak boleh mengganggu prosiding Parlimen.

12.20pm: Ahli Parlimen Kota Baru Takiyuddin Hassan memberi respons kepada kenyataan Gobind. Takiyuddin berhujah saman hampir sama dengan yang semalam sudah pun difailkan pada Jun tahun lepas.

Mahkamah Tinggi memutuskan Parlimen tidak boleh menghentikan usul yang sudah difailkan di Dewan Rakyat. Ia disambut tepukan beberapa ahli Parlimen.

12.18pm: Semasa Pandikar memutuskan Hadi boleh membentangkan usul, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mempersoalkan apakah prosiding mengikut aturan sepatutnya. Gobind mengatakan saman diserahkan kepada speaker untuk menghentikan pembentangan rang undang-undang Hadi.

12.17pm: Pandikar bertegang leher dengan Ahli Parlimen Gopeng Lee Boon Chye mengenai siapa yang patut diberi keutamaan untuk mengemukakan usul mengikut peraturan Dewan Rakyat. Pandikar menjelaskan rang undang-undang Hadi bukan bacaan kali pertama.

Pandikar menekankan beliau tidak bersikap berat sebelah kepada sesiapa.

12.02pm: Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang mengganggu dan mengatakan beliau harus diberi kebenaran membentangkan usulnya dahulu kerana beliau mengemukakannya terlebih dahulu.

12.01pm : Speaker Pandikar Amin Mulia tiba sejurus sebelum tengah hari, mengambil alih daripada timbalan speaker sesama sesi soal jawab berterusan. Lebih ramai ahli Parlimen memasuki Dewan.

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia Pandikar memberikan kebenaran Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang membentangkan rang undang-undang persendirian beliau untuk
didebatkan. Rang undang-undang itu bercadang meningkatkan penalti bagi kesalahan Syariah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah 1965. – 6 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen