KERAJAAN akan mengadakan tender terbuka bagi pembangunan Bandar Malaysia, kata Mohamed Azmin Ali.
“Kabinet berpegang pada prinsip ia mesti dilakukan dengan tender terbuka. Kita dapat maklumat antara sebab pentadbiran lama menamatkan perjanjian asal itu atas pertimbangan untuk dapat imbuhan haram,” kata menteri hal ehwal eknomi itu kepada pemberita di Felda Palong, Negeri Sembilan, hari ini.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan bahawa Putrajaya akan meneruskan projek Bandar Malaysia dengan mengekalkan kontraktor asal, IWH-CREC Sdn Bhd.
Pada 3 Mei, 2017, TRX City Sdn Bhd iaitu sebuah entiti di bawah Kementerian Kewangan mengumumkan telah menamatkan perjanjian jualan sahamnya dengan IWH CREC Sdn. Bhd. (ICSB) bagi projek Bandar Malaysia kerana ICSB gagal memenuhi tuntutan pembayaran yang tertangguh walaupun berulang kali diberi lanjutan.
ICSB adalah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corp. (M) Sdn Bhd (CREC).
Sementara itu, Azmin berkata pembangunan strategik itu perlu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan serantau.
“Projek ini bukan sahaja pembangunan hartanah komersil dan kediaman tetapi satu pembangunan strategik yang dapat menarik pelabur dari syarikat multinasional luar negara (MNC) khususnya dalam sektor kewangan. Kita mahu jadikan Malaysia hab kewangan di rantau ini.
“Untuk menarik pelabur seperti ini, kita perlukan kawasan strategik yang komprehensif,” katanya sambil menambah Bandar Malaysia adalah pembangunan sektor swasta. – 20 April, 2019.
Komen