Putrajaya teruskan Bandar Malaysia dengan kontraktor asal


Mohd Farhan Darwis

Keputusan untuk mengekalkan IWH-CREC Sdn Bhd dibuat selepas penelitian Kabinet pada Rabu lalu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 April, 2019.

PUTRAJAYA meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan melantik kontraktor asal IWH-CREC Sdn Bhd bagi kerja tersebut, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan itu dibuat selepas penelitian Kabinet pada Rabu lalu, kata Dr Mahathir yang menambah Putrajaya menyedari kerajaan mempunyai 40% pegangan dalam syarikat tersebut.

IWH-CREC adalah usaha sama antara China Railway Engineering Corporation (CREC) dan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) yang memegang 60% kepentingan.

Sebanyak 40% kepentingan IWH-CREC dipegang kerajaan Johor.

“Kerajaan mengalu-alukan komitmen IWH-CREC untuk membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta sebagai tambahan kepada deposit asal bernilai RM741 juta yang perlu dibayar dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kerajaan memulakan semula projek itu,” kata Dr Mahathir.

Pada 2017, pentadbiran Barisan Nasional membatalkan kontrak Bandar Malaysia yang diberikan kepada IWH-CREC kerana didakwa tidak memenuhi tanggungjawab pembayaran.

Tuduhan itu dinafikan syarikat berkenaan yang menegaskan mereka mematuhi 12 tanggungan pembayarannya.

Mengulas lanjut keputusan itu, Dr Mahathir berkata, projek Bandar Malaysia itu akan menambah nilai kepada ekonomi dengan penciptaan peluang pekerjaan, dan memacu industri peruncitan.

“Pembinaan semula itu juga akan menyaksikan penglibatan lebih banyak penyertaan Bumiputra dan keutamaan diberikan kepada kandungan tempatan bagi proses pembinaan,” kata Dr Mahathir,

Tambah perdana menteri lagi, projek Bandar Malaysia dijangka memberikan impak besar kepada pembangunan di Malaysia.

“Ia akan menyaksikan penyertaan institusi kewangan antarabangsa, syarikat multinasional dan syarikat Fortune 500 untuk berada di Bandar Malaysia.

“Selain itu, gergasi teknologi seperti Alibaba dan Huawei juga menyatakan minat untuk menubuhkan pusat teknologi maklumat mereka di sini,” katanya. 

Pembangunan di tanah kem Tentera Udara Diraja Malaysia Sungai Besi seluas 194 hektar itu disasarkan sebagai hab pengangkutan keretapi laju (HSR).

Dr Mahathir bagaimanapun semalam mendedahkan, projek HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu tidak diperlukan buat masa ini. – 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen