Jokowi dahului kiraan awal pemilihan presiden Indonesia


Penyandang jawatan presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri Iriana Widodo mengundi dalam pilihan raya legislatif dan presiden di Jakarta hari ini. – Gambar AFP, 17 April, 2019.

PENYANDANG Presiden Indonesia Joko Widodo dan regunya Ma’aruf Amin kini mendahului pesaing mereka pasangan Prabowo Subiando dan Sandiaga Uno berdasarkan kiraan awal pemilihan presiden yang disempurnakan hari ini.

Kiraan awal oleh lima badan penyelidik menunjukkan Jokowi-Ma’aruf mendahului antara 53.74% hingga 54.87%, dengan baki lebih kurang 25% undi belum dikira.

Pasangan Prabowo-Sandiaga pula mendapat antara 45.13% hingga 45.82%.

Hasil kiraan cepat ini bagaimanapun bukan keputusan rasmi pilihan raya yang hanya akan diumum dan disahkan oleh suruhanjaya pilihan raya, yang dijangka akan diketahui sepenuhnya minggu depan.

Proses pengiraan secara manual dimulakan selepas pengundian ditutup pukul 1 tengah hari (2 petang waktu Malaysia).

Jokowi yang memantau perjalanan kiraan awal di sebuah pawagam di Jakarta meminta penyokong bersabar menunggu keputusan muktamad walaupun semua petunjuk setakat ini menunjukkan beliau menang.

“Kita harus bersabar menunggu penghitungan secara rasmi,” kata Jokowi kepada penyokongnya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen Indonesia.

Prabowo Subiando menentang Joko Widodo dalam pemilihan presiden Indonesia tahun ini. – Gambar AFP, 17 April, 2019.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan pilihan raya hari ini – daripada pihak berkuasa, pengawas pengundian dan sampailah kepada rakyat – sehingga membolehkan proses demokrasi itu berjalan lancar.

FOTO: Indonesia Memilih 2019

Jokowi, yang lima tahun lalu menang tipis mengatasi Prabowo, turut menyeru seluruh rakyat Indonesia untuk kembali bersatu selepas selesai pilihan raya demi menjaga kesatuan republik.

Prabowo sementara itu dalam ucapan kepada penyokongnya turut mendakwa kiraan awal oleh pasukan kempennya menunjukkan beliau mendahului Jokowi dengan lebih 50% undi.

Beliau turut menggesa penyokong untuk mempertahankan kemenangan, sambil mempertikaikan hasil kiraan awal yang diumumkan pelbagai badan kaji selidik dan dibahaskan media sejak proses pengiraan undi berjalan.

“Mohon semua relawan mengawal kemenangan kita di TPS (tempat mengundi) dan kecamatan. Ada upaya dari lembaga-lembaga survei tertentu yang kita ketahui memang sudah bekerja untuk satu pihak, menggiring opini seolah-olah kita kalah,” katanya.

Dianggarkan lebih 80% pengundi terlibat memberi suara dalam pilihan raya presiden yang diadakan serentak dengan pilihan raya legislatif. Lebih 192 juta pengundi layak memilih dalam pilihan raya Indonesia hari ini. – Gambar AFP, 17 April, 2019.

Beliau juga menyeru penyokongnya untuk menjaga diri, tidak terpancing provokasi serta tidak bertindak ganas di luar batas undang-undang.

Tidak seperti pada 2014, ketika beliau bertanding dengan kempen menolak elit politik dan tentera dalam politik republik itu, Jokowi kali ini turun gelanggang atas rekod prestasinya menerajui negara.

Pelbagai pihak menganggarkan lebih 80% pengundi terlibat memberi suara dalam pilihan raya presiden yang diadakan serentak dengan pilihan raya legislatif. Lebih 192 juta pengundi layak memilih dalam pilihan raya Indonesia hari ini. – 17 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen