PENGGUNA media sosial hari ini mengecam Rosmah Mansor dan menarik kembali permohonan maaf mereka terhadap isteri bekas perdana menteri tersebut selepas polis mendedahkan bahawa terdapat jejak wang yang menghubungkan rantai berlian merah jambu dengan dana dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Memberi respons terhadap pendedahan terbaru itu, pengguna media sosial turut menggesa Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah dipecat berikutan pendedahannya di Dewan Rakyat awal minggu ini bahawa isteri seorang VVIP tidak membeli berlian merah jambu.
Ketua Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, Khalil Azlan Chik hari ini turut berkata jejak wang tersebut menunjukkan bahawa barang kemas bernilai AS$23 juta (RM97 juta) dibeli daripada kedai barang kemas yang berpangkalan di New York.
Pengguna media sosial di platform Twitter dan Facebook untuk melepaskan kekecewaan mereka setelah mempercayai bahawa Rosmah tidak mempunyai kaitan dengan barang kemas tersebut.
Sebuah akaun pengguna Twitter, Ranjeeta Kaur @ Ranjeeta_Kaurb berkata: “Kamu fikir kami bodoh, bagaimana kita nak tahu berlian merah jambu itu tidak disimpan di negara lain, bagaimana dengan semua barang yang dirampas dari kondominiumnya? Itu hanya ilusi je ke?”
Akaun Mycire @ Malacire mengatakan bahawa satu-satunya perkara yang dia (Rosmah) akan hilang adalah kebebasan di Hotel Sungai Buloh.
Joel Yahya @ joelyahyaiamang pula berkata beliau menarik semula permintaan maaf (terhadap Najib Razak), dengan mengatakan bahawa “Uncle @NajibRazak dan Auntie Mah tertangkap menipu lagi sekali”.
Sementara itu, Firdaus @ firdaus 72 pula berkata “Sial… Sia-sia minta maaf”.
Le Ajip @ ajipkasa pula berkata beliau mendengar orang ramai telah mula meminta maaf daripada Rosmah, namun kini mereka marah kembali kepadanya.
Pengguna lain turut dilihat mengecam Amiruddin yang sebelum ini mengatakan barang kemas itu tidak dibeli isteri seorang VVIP dan bahawa ia adalah ejen jualan yang membawa barangan itu bersama dengan barang kemas lain ke negara ini untuk dilihat wanita tersebut.
Pengguna Soma Govin berkata Amiruddin harus dipecat kerana membantu Najib, Rosmah dan Ummo mengungkap putar belit bahawa mereka tidak bersalah dan berlakon sebagai mangsa di Pilihan Raya Kecil Rantau berhubung kes berlian merah jambu tersebut.
Pengguna Facebook, Anbalagan Ramasamy pula berkata Rosmah perlu memohon maaf kepada rakyat kerana berbohong bahawa dirinya tidak bersalah.
Sementara akaun lain, Michael Chau, mempersoalkan pihak polis kerana mengambil masa yang lama untuk menjelaskan perkara itu.
“Kenapa IGP (Ketua Polis Negara) tidak tahu tentang hal ini? Kenapa sekarang ini baru beritahu orang ramai?” soalnya. – 13 April, 2019.
Komen