Ceramah Zakir Naik dilulus seperti aktiviti pelajar lain, kata pegawai UUM 


Ragananthini Vethasalam

Pendakwah bebas Zakir Naik dikehendaki pihak berkuasa India berkaitan tuduhan pengubahan wang haram dan menyebarkan ucapan kebencian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2019

PROGRAM ceramah di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang melibatkan penceramah bebas Zakir Naik diluluskan seperti aktiviti pelajar yang lain, kata pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar Massudi Mahmuddin.

“Kami luluskan aktiviti itu, sama seperti aktiviti pelajar yag lain. Pengarah program turut mendapatkan nasihat daripada pihak polis dan jabatan agama,” kata Massudi kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata pengarah program mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa terbabit sebelum pihak universiti memberi kebenaran untuk program itu, dan menambah ia terbuka kepada kakitangan dan pelajar universiti berkenaan.

“Ia (ceramah) adalah mengenai bagaimana untuk menjadi umat Islam profesional yang baik,” kata Massudi merujuk kepada program ceramah berkenaan.

Pendakwah berkenaan dikangka akan menyampaikan ceramah bertajuk “Duty of a Muslim as a Professional” (peranan umat Islam sebagai golongan profesional) di Dewan Muadzam Shah UUM pada 18 April bermula pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Poster program berkenaan kini tersebar di media sosial tertulis kemasukan adalah percuma dan terbuka kepada umat Islam dan masyarakat bukan Islam.

Awal hari ini, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching memberitahu pemberita di Parlimen yang universiti berkenaan mempinyai autonomi berhubung perkara itu.

“Ia untuk universiti jawab. Sebahagian autonomi mereka,” katanya.

Sementara itu, naib presiden MCA Ti Lian Ker membidas Teo kerana didakwa gagal menasihati universiti berkenaan daripada terlibat dengan Zakir.

“Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching gagal apabila tidak menasihatkan UUM untuk berhenti terlibat dengan Zakir atau mendedahkan ideologi ‘pengganas’ dan cara beliau menghina agama lain kepada pelajar yang mudah dipengaruhi.

“Ini kerana walaupun pendirian DAP bahawa Zakir adalah liabiliti yang jelas kepada Malaysia seperti yang digariskan dalam parti mereka,” katanya merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Menteri Ramasamy Pulau Pinang bertarikh 11 Disember 2017.

Tambah Ti, Teo memilih cara yang mudah dengan memetik autonomi dan kebebasan, berbanding menggnakan kapasiti beliau sebagai menteri untuk menasihatkan universiti menegani “potensi kerosakan” dan “pengaruh negatif” yang dibawa pendakwah itu kepada pelajar. 

“MCA sentiasa berpendirian bahawa tiada ruang untuk ekstremisme di Malaysia dan kita tidak perlu memperakui atau menggalakkan cara pelampau ini dengan memetik ‘kebebasan’ atau ‘autonomi’ apabila tanggungjawab kita adalah mengingatkan atau memberi peringatan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India atas tuduhan pengubahan wang haram dan menyebarkan ucapan kebencian. – 11 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen