ADA cubaan mendapatkan sokongan Diraja untuk menentang Pakatan Harapan tetapi ia tidak akan berjaya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
“Mereka gunakan Statut Rom, cuba dapatkan Raja-Raja lawan kerajaan.
“Tetapi, ia tak akan berjaya dan tak akan bertahan lama,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan wujud “daulah terpendam” cuba menyingkirkan kerajaan Pakatan Harapan dengan cara tidak demokratik.
Minggu lepas, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi Statut Rome adalah disebabkan kebimbangan berlaku rampasan kuasa didalangi “daulah terpendam”.
Ada sebuah negara yang tidak pernah berlaku transisi demokratik, berlaku satu pilihan raya selepas kebangkitan rakyat, seorang presiden dipilih. Dan presiden itu dianggap the first elected democratically president and he formed the government (presiden pertama yang dipilih secara demokratik dan dia telah membentuk kerajaan).
“Dalam masa setahun seorang jeneral mengetuai satu rampasan kuasa dan menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik,” katanya.
Saifuddin berkata, Kabinet membuat keputusan menarik diri daripada Statut Rom pada mesyuarat Jumaat lalu yang diadakan selepas Dr Mahathir mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis Raja-Raja turut mengadakan mesyuarat tidak rasmi untuk berbincang tentang Statut Rom pada Selasa lalu.
Majlis tersebut memanggil Saifuddin, Peguam Negara Tommy Thomas, Panglima Angkatan Tentera Zulkifli Zainal Abidin dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara yang juga Dekan Fakulti Undang-Undang Uitm Profesor Dr Rahmat Mohamad untuk menjelaskan perkara tersebut. – 11 April, 2019.
Komen