MALAYSIA tidak mengamalkan sistem raja mutlak sebaliknya raja berperlembagaan, dan kerana itu, parti politik berhak menentukan siapa wajar dilantik sebagai Menteri Besar Johor, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri membuat kenyataan itu ketika tercetusnya polemik mengenai pengganti menteri besar Johor selepas beliau mengumumkan Osman Sapian sudah letak jawatan kelmarin.
Mengulas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, perdana menteri berkata Malaysia tidak lagi akan jadi negara demokratik sekiranya parti politik yang dipilih tidak boleh menentukan ketua kerajaannya.
“Saya berpendapat kalau kita anggap bahawa yang akan memilih perdana menteri dan memilih MB ialah raja, kita sudah tidak jadi negara demokratik lagi kerana walaupun rakyat telah pilih parti yang berhak untuk melantik MB tetapi ini dinafikan hak rakyat.
“Maka kita bukan demokrasi. Kita sudah jadi negara kerajaan raja berkuasa mutlak,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.
Dr Mahathir mengulas titah Sultan Johor yang meminta “pihak tertentu” supaya jangan campur tangan urusan negeri Johor.
“Saya mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik sebaliknya tumpukan kepada usaha menjaga negara.
“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang Sultan,” titah baginda dalam satu kenyataan di Facebook.
“Saya akan membuat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti,” titahnya, yang kini berada di luar negara.
Dr Mahathir mengulangi kenyataannya awal hari ini bahawa bukan peranan Sultan Johor untuk memilih calon menteri besar negeri itu kerana ia keputusan politik yang dibuat oleh parti pemerintah.
“Ini merupakan perkara politik, Sultan tidak ada peranan, ia terpulang kepada parti untuk memilih siapa mereka perlukan,” katanya, kepada media di Kuala Lumpur pagi tadi.
Mengulas titah Sultan Johor di Facebook, Dr Mahathir berkata pandangan Sultan Johor itu “sangat serius” kerana hal itu sudah diselesaikan semasa Persekutuan Tanah Melayu dibentuk dan diperkenalkan perlembagaan untuk mentadbirnya.
“Dalam perlembagaan ini, kita telah nyatakan bahawa Persekutuan Tanah Melayu dan negeri-negeri dalam persekutuan ini mengamalkan sistem raja perlembagaan. Bukan raja berkuasa mutlak.
“Kalau dia masih ada dalam undang-undang perlembagaan Johor, itu terbatal kerana Johor juga bersetuju dengan sistem pemerintahan di negara kita ini,” kata perdana menteri.
Seorang sumber sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight, Sultan Johor tidak akan menerima peletakan jawatan Osman sehingga Pakatan Harapan memberikan tiga nama calon penggantinya, kata sumber.
Semalam, Dr Mahathir mengumumkan Johor kini tidak bermenteri besar kerana Osman sudah letak jawatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas itu menyerahkan surat memaklumkan perletakan jawatannya kepada Dr Mahathir pada Isnin. – 10 April, 2019.
Komen