Saya akan namakan MB baharu bila tiba masa, titah Sultan Johor


Saya mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik sebaliknya tumpukan kepada usaha menjaga negara, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. – Gambar Facebook, 10 April, 2019.

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah yang baginda akan membuat keputusan bakal menteri besar negeri itu pada masa yang sesuai dan mahu semua pihak berhenti “membuat bising” mengenai isu itu.

Johor kini tiada menteri besar selepas Osman Sapian meletak jawatan.

“Saya mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik sebaliknya tumpukan kepada usaha menjaga negara.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang Sultan,” titahnya dalam kenyataan dikeluarkan di Facebook hari ini.

“Saya akan membuat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti,” titahnya lagi.

Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kuasa melantik menteri besar terletak pada parti pemerintah dan bukannya Sultan Johor.

“Ini hal politik. Sultan tak main sebarang peranan. Terpulang kepada parti untuk pilih siapa mereka perlu,” katanya.

Kenyataan Dr Mahathir itu dikeluarkan menjawab tweet Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang Osman diganti kerana titah Sultan Ibrahim, yang ada budi bicara melantik menteri besar.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan yang PH akan memutuskan calon pengganti Osman.

Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata kerajaan tidak ada banyak masa dan perlu menamakan pengganti Osman secepat mungkin. – 10 April, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen