Parti tentukan MB, bukan Sultan, kata Dr Mahathir


Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pelantikan menteri besar adalah keputusan politik yang ditentukan oleh parti pemerintah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 April, 2019.

BUKAN peranan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memilih calon menteri besar (MB) negeri itu kerana ia keputusan politik yang dibuat oleh parti pemerintah, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Dr Mahathir, Pakatan Harapan (PH) tiada banyak masa untuk memilih calon pengganti Osman Sapian yang meletakkan jawatan kelmarin tetapi beliau menegaskan pengganti MB akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Ini merupakan perkara politik, Sultan tidak ada peranan, ia terpulang kepada parti untuk memilih siapa mereka perlukan,” katanya, kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas pelantikan MB Johor yang baharu susulan pengunduran Osman yang beliau umumkan semalam.

Dalam pada itu perdana menteri itu sekali lagi enggan mengesahkan sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong Sahruddin Jamal akan dinamakan sebagai pengganti menteri besar baharu. Ditanya perkara itu beliau hanya menjawab tidak tahu.

Sahruddin semalam mewakilkan Osman dalam mesyuarat dua hala Dr Mahathir dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengenai isu hubungan Malaysia dan republik itu.

Semalam, perdana menteri mengumumkan Johor kini tidak bermenteri besar kerana Osman sudah meletak jawatan. Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas sejak 1999 itu menyerahkan surat memaklumkan perletakan jawatannya kepada Dr Mahathir pada Isnin.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Osman tidak menyertai mesyuarat dua hala Dr Mahathir dan Lee di Putrajaya.

Osman sebaliknya digantikan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Sahruddin Jamal.

Pengumuman Dr Mahathir itu menyusul pendedahan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim di Twitter bahawa Sultan Johor mahu menukar menteri besar sejak beberapa bulan lalu.

Menulis di Twitter, Tunku Ismail juga berharap MB Johor yang baharu nanti bukan seorang tukang angguk kepada kerajaan persekutuan.

Selain Sahruddin, yang juga Adun Bukit Kepong, dua lagi nama disebut calon pilihan pengganti iaitu Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar daripada PKR dan Exco Hal Ehwal Agama Islam Dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan daripada Amanah.

Sebuah poster yang memaparkan foto mereka bertiga mula tersebar sejak malam tadi di media sosial dengan tulisan berbunyi: “Siapa pun calon Menteri Besar mestilah mendapat perkenan DYMM Sultan Johor seperti termaktub Undang-Undang Tubuh Negeri Johor”.

Sebelum itu, media melaporkan nama Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang daripada Bersatu juga dalam pertimbangan. – 10 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen