PUTRAJAYA akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bukan saja bagi menyiasat kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur tetapi jauh lebih daripada itu, untuk mengenal pasti panduan dan piawaian pengurusan sekolah agama.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan jawatankuasa khas itu adalah langkah kerajaan untuk mengambil pengajaran daripada tragedi yang melibatkan sekolah agama.
“Kita akan bentuk satu jawatankuasa serta merta tanpa perlu dibincangkan di peringkat Kabinet Rabu ini… sebab (sudah) lama sangat, kita tak boleh biarkan perkara sama terjadi.
“Yang penting langkah menangani. Kita tidak mahu ada pemilik kata ia menyusahkan kerana ini merupakan langkah pencegahan,” katanya pada sidang media di Hospital Besar Kuala Lumpur, hari ini.
Zahid turut menawarkan diri untuk jadi pengerusi jawatankuasa tersebut.
Pada awal pagi ini, 23 orang termasuk pelajar dan guru pusat tahfiz itu maut dalam kebakaran, dipercayai bermula dari tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.
Berita berkaitan: Apa yang kita tahu tentang kebakaran tahfiz Kampung Datuk Keramat, https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/14682/
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar berkata pusat tahfiz yang terbakar di Keramat hari ini tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain sudah diubah suai daripada struktur asal.
Beliau mengesahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sjil perakuan berkenaan daripada pihak pusat tahfiz berkenaan bulan lepas, namun masih belum diluluskan.
Zahid sebelum itu tiba di Jabatan Perubatan Forensik untuk menziarahi ahli keluarga mangsa dan menyampaikan ucapan takziah.
Selain itu, beliau berkata kerajaan akan turut memberi bantuan dalam urusan pengebumian kesemua mangsa termasuk juga menawarkan sesi kaunseling kepada keluarga serta mangsa terselamat. – 14 September, 2017.
Komen